BENGALURU: Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian tujuh individu dilaporkan maut selepas tembok setinggi 2.5 meter di sebuah kompleks hospital runtuh di bandar selatan India itu, semalam, menurut kenyataan rasmi kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri Karnataka, D K Shivakumar dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu meragut nyawa seorang kanak-kanak dan empat penjaja jalanan selain dua lagi mangsa yang berasal dari negeri Kerala.
Katanya, identiti salah seorang mangsa masih belum dikenal pasti.
Perdana Menteri India, Narendra Modi menerusi hantaran di platform X menyifatkan insiden runtuhan tembok itu sebagai amat mendukacitakan.
Shivakumar berkata, tiga individu dilaporkan cedera dan menerima rawatan di hospital.
Seorang wanita yang cedera dibawa untuk pemeriksaan lanjut selepas menerima rawatan kecemasan di hospital susulan kejadian itu, menurut saksi Reuters.
Selepas beberapa minggu berdepan suhu tinggi dan kelembapan yang tidak selesa, cuaca di Bengaluru berubah secara mendadak pada 29 April apabila hujan lebat, angin kencang dan ribut petir melanda sebahagian besar bandar berkenaan.
Hujan lebat itu memberikan kelegaan sementara daripada cuaca panas, namun turut mengakibatkan gangguan meluas termasuk banjir kilat dan kejadian pokok tumbang. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






