CREWE, England: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro sembilan individu ditahan polis Cheshire selepas serbuan ke atas ibu pejabat kumpulan agama Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL) di sini susulan dakwaan jenayah seksual serius, perhambaan moden dan perkahwinan paksa, lapor The Guardian.
Operasi besar-besaran pada pagi Rabu lalu itu membabitkan kira-kira 500 pegawai polis dari seluruh wilayah barat laut England yang menyerbu premis kumpulan itu di sebuah bekas rumah anak yatim.
Siasatan dimulakan selepas pihak berkuasa menerima laporan daripada seorang wanita di Ireland yang mendakwa menjadi mangsa rogol dan penderaan seksual di ibu pejabat berkenaan pada 2023.
Polis mengesahkan sembilan suspek yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita warga asing dari Amerika Syarikat, Mexico, Sepanyol, Mesir, Itali serta Sweden.
Selain itu, 13 individu lain turut ditahan atas kesalahan ketenteraman awam yang tidak berkaitan secara langsung dengan siasatan jenayah seksual berkenaan.
Ketua Superintendan Gareth Wrigley menegaskan bahawa siasatan tertumpu sepenuhnya kepada individu yang dinamakan dalam laporan dan bukan bertujuan menyiasat agama kumpulan terbabit.
Beliau turut memberi jaminan bahawa setiap laporan serangan seksual akan disiasat secara serius bagi memastikan mangsa mendapat keadilan sewajarnya di sisi undang-undang.
AROPL berpangkalan di Crewe sejak 2021.
Kumpulan yang aktif berdakwah melalui YouTube itu dilaporkan mempunyai kira-kira 150 pengikut yang menetap di bangunan tersenarai gred II itu, manakala pengikut lain berada di seluruh dunia.
Dianggarkan, 56 kanak-kanak turut tinggal di premis berkenaan dan mendapat pendidikan di rumah sekali gus menyebabkan polis bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi tujuan perlindungan.
Siasatan sebelum ini di Sweden turut menyebabkan 69 ahli kumpulan ini dibatalkan permit pemastautin mereka sebelum kebanyakannya berpindah ke United Kingdom (UK) selepas berdepan ancaman pengusiran.
Selain kes jenayah, Kementerian Dalam Negeri UK turut menjalankan siasatan terhadap kumpulan itu berhubung dakwaan penyalahgunaan visa pekerja mahir melalui syarikat produksi video mereka.
Bagaimanapun, peguam mewakili AROPL dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan salah laku dan menegaskan bahawa status imigresen ahli mereka adalah sah di sisi undang-undang. – AGENSI, HMetro –
IMedikel TV






