WASHINGTON: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian usaha menamatkan perang di Asia Barat dilihat menemui jalan buntu apabila Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan tawaran terbaharu Tehran bagi membuka semula Selat Hormuz.
Iran pula menegaskan Washington tidak lagi boleh menentukan syarat berkaitan pembukaan selat berkenaan.
Menurut agensi berita Fars milik Iran, cadangan Iran yang disampaikan menerusi Pakistan dan diteliti pegawai pentadbiran Trump dalam mesyuarat Isnin lalu, menggariskan beberapa garis merah termasuk berkaitan isu nuklear dan Selat Hormuz.
Menerusi pelan itu, Tehran dilaporkan melonggarkan sekatan di selat berkenaan manakala Washington menarik balik sekatan balas terhadap pelabuhan Iran, sementara rundingan lebih luas diteruskan termasuk berkaitan isu rumit program nuklear Iran.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata cadangan itu ‘lebih baik daripada jangkaan’.
Namun, beliau mempersoalkan sama ada pegawai Iran yang mengemukakannya mempunyai kuasa sebenar susulan pembunuhan beberapa pegawai tertinggi Iran oleh Israel.
Rubio dalam wawancara bersama Fox News berkata tuntutan AS untuk membuka semula selat itu bermaksud mengembalikan keadaan seperti sepatutnya, sebelum serangan AS-Israel dilancarkan.
“Mereka sangat mahir dalam rundingan,” katanya sambil menegaskan sebarang perjanjian yang dicapai mesti benar-benar menghalang mereka daripada bergerak pantas ke arah pembangunan senjata nuklear.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Iran, Reza Talaei-Nik pula berkata Washington perlu menghentikan tuntutan yang tidak masuk akal dan tidak rasional.
“AS tidak lagi berada dalam kedudukan untuk menentukan dasar terhadap negara merdeka,” katanya, yang dipetik penyiar rasmi kerajaan.
Dalam pada itu, pegawai AS tidak menafikan laporan CNN dan The Wall Street Journal bahawa Presiden Donald Trump bersikap tidak yakin terhadap cadangan berkenaan.
Iran menutup laluan perairan strategik itu yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dan gas dunia sejak serangan AS-Israel bermula dua bulan lalu, sekali gus menjejaskan ekonomi global.
Harga minyak pula melonjak melebihi AS$110 (RM405.70) setong, paras tertinggi sejak gencatan senjata AS-Iran, susulan kebimbangan konflik baharu mungkin tercetus semula.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari, memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya ‘konflik beku’ sekiranya penyelesaian muktamad gagal dicapai.
“Kami tidak mahu melihat kembalinya permusuhan di rantau ini dalam masa terdekat.
“Kami juga tidak mahu melihat ‘konflik beku’, di mana isu ini dibangkitkan kembali setiap kali ada kepentingan politik,” katanya pada sidang media.
Qatar, sekutu AS yang turut menjadi sasaran serangan Iran meskipun berperanan sebagai pengantara.
Trump turut berdepan tekanan domestik untuk mencari jalan penyelesaian ketika harga minyak terus meningkat, selain pilihan raya pertengahan penggal dijadual berlangsung pada November dan tinjauan pendapat menunjukkan perang itu tidak popular dalam kalangan rakyat AS.
Canselor Jerman, Friedrich Merz yang sebelum ini menyatakan sokongan berhati-hati terhadap Trump, pada Isnin berkata: “AS jelas tidak mempunyai strategi di Iran dan perang ini, malah tidak difikirkan secara mendalam”.
Trump mengecam Merz di media sosial pada Selasa dengan berkata beliau tidak tahu apa yang diperkatakan.
Jurucakap tentera Iran, Amir Akraminia memberitahu penyiar rasmi kerajaan pada Selasa bahawa mereka tidak menganggap perang sudah berakhir, sambil menegaskan Tehran tidak mempercayai AS.
“Kami mempunyai banyak keupayaan yang belum digunakan… termasuk alat dan kaedah peperangan baharu berdasarkan pengalaman daripada dua perang terdahulu.
“Ini pasti membolehkan kami bertindak balas dengan lebih tegas terhadap musuh sekiranya pertempuran kembali tercetus,” katanya dalam satu wawancara. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






