LONDON: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro keputusan mengenai masa depan Max Verstappen dalam Formula Satu (F1) tidak akan dipengaruhi oleh pemergian individu pentingnya di Red Bull Racing, Gianpiero Lambiase, menurut ketua pasukan, Laurent Mekies.
Lambiase yang menjadi jurutera perlumbaan Verstappen sejak pelumba Belanda itu menyertai pasukan pada Mei 2016, bakal meninggalkan Red Bull untuk menyertai McLaren sebagai ketua pegawai perlumbaan selewat-lewatnya menjelang 2028.
Mekies menegaskan pemergian Lambiase ‘langsung tidak’ mempengaruhi Verstappen berhubung masa depannya dalam F1, walaupun juara dunia itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan prestasi enjin baharu yang diperkenalkan musim ini.
“Jelas sekali kami berbincang dengan Max setiap hari. Dia faham dunia permotoran secara menyeluruh.
“Dia hidup dengan pasukan ini, mengenali kebanyakan individu di dalamnya dan faham dinamik yang berlaku.
“Pasukan ini sangat berjaya dan tidak semua boleh dinaikkan pangkat. Ada yang memilih haluan sendiri,” katanya.
Verstappen sebelum ini secara terbuka meluahkan rasa kurang senang terhadap enjin hibrid baharu yang menggunakan hampir nisbah 50-50 antara enjin pembakaran dalaman dan kuasa elektrik, yang menurutnya menjejaskan pengalaman pemanduan.
Mekies menjelaskan perubahan peraturan yang diperkenalkan menjelang Grand Prix (GP) Miami hujung minggu ini mampu menangani sebahagian kebimbangan pelumba.
“Kami akan terus menyokong lebih banyak penambahbaikan supaya pelumba boleh memandu secara maksimum,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






