Home Hiburan AZAR AZMI KONGSI DETIK HITAM TERPISAH DENGAN ANAK

AZAR AZMI KONGSI DETIK HITAM TERPISAH DENGAN ANAK

12
0

KUALA LUMPUR: “Saya hanya mampu tulis nombor telefon kakak pada cebisan kertas kecil dan serahkan anak-anak saya kepada seorang wanita yang dikenali untuk dibawa kepada kakak saya.

“Saya merayu padanya, tolong sampaikan amanah ini kerana saya sudah tidak boleh bercakap dengan kakak saya.”

Memetik laporan Harian Metro, demikian pendedahan berani pelakon, Azar Azmi, 37, mengenai detik hitam dalam hidupnya apabila ditahan pihak berkuasa, sekali gus menyebabkan dia terpisah dengan dua cahaya matanya yang ketika itu berusia tiga dan empat tahun.

Menerusi klip video audio siar Sembang Seram bersama Safwan Nazri di TikTok, Azar menyifatkan pengalaman berada di tahanan lokap sebagai satu dunia asing yang amat memeritkan.

“Bila masuk ke dalam (lokap), dunianya sangat berbeza. Kita tiada sesiapa, hanya ada tiang dan dinding. Tiada akses langsung ke dunia luar.

“Apa yang saya doa di dalam (lokap), saya cuma minta ditunjukkan mana yang betul dan salah. Paling merisaukan adalah keadaan anak-anak di luar.

“Saya tidak tahu mereka sudah sampai ke rumah kakak atau belum, cukup atau tidak susu dan lampin mereka? Kalau saya seorang diri, saya tidak kisah, tetapi anak-anak daya di luar itu bagaimana?,” katanya.

Menurut Azar atau nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi, sepanjang tiga hari dalam tahanan reman di Seremban, dia hanya mampu memikirkan nasib anak-anaknya yang selama ini tidak pernah berenggang dengannya sejak dilahirkan.

“Hari ketiga (dalam tahanan) baru saya dapat bercakap dengan keluarga. Rupa-rupanya anak-anak saya sampai demam (kerana terpisah). Ingatkan lepas reman di Seremban boleh terus keluar, tetapi saya dibawa pula ke Balai Polis Dang Wangi.

“Ikutkan saya tiada kaitan dengan kes di situ kerana ia melibatkan kes-kes lama suami sebelum kami berkahwin lagi,” katanya lagi.

Bercerita mengenai detik pembebasannya daripada tahanan, Azar mengakui timbul perasaan trauma dan takut untuk berhadapan dengan masyarakat serta tohmahan orang sekeliling.

“Saya nak melangkah keluar daripada pintu balai itu pun dah buat saya takut. Saya ada satu perasaan yang saya takut nak tengok orang, saya takut nak bertentang mata dengan orang.

“Saya takut pada tohmahan orang. Tetapi, saya tetap melangkah sebab tujuan saya satu sahaja iaitu saya nak jumpa anak-anak,” kongsinya.

Bagaimanapun, satu kejadian ‘ajaib’ berlaku sebaik dia tiba di rumah kakaknya di Sungai Buloh kira-kira jam 3 pagi untuk berjumpa dengan anak-anaknya.

“Waktu sampai depan pintu rumah, saya tak sempat ketuk pintu sebab tak mahu ganggu anak-anak tidur. Tetapi kuasa Tuhan, tiba-tiba kedua-dua anak saya bangun (daripada tidur) dan menangis.

“Mereka ketuk pintu dari dalam sambil panggil ‘Mommy, buka… buka’. Adik saya saksi kejadian itu. Lepas pintu dibuka, mereka terus terkam (peluk) saya dan kami bergelimpangan di depan pintu. Seolah-olah mereka tahu saya sudah ada di situ.

“Saya baru sahaja sampai di depan pintu rumah, tak sempat nak sentuh apa-apa. Walaupun hanya tiga hari di dalam (lokap), tetapi bagi saya ia terasa seperti 30 tahun,” ujarnya.

Menjengah ke dalam ruangan komen, rata-rata netizen turut bersimpati dengan nasib Azar dan mendoakan sentiasa kuat dalam menempuh cabaran hidup yang mendatang.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here