BAITULMAQDIS: Israel meletakkan pasukan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga menjelang ulang tahun tercetusnya perang antara Israel-Palestin pada 7 Oktober tahun lalu.
Perkara itu dinyatakan oleh seorang pegawai tentera Israel yang mendakwa negara itu sedang bersiap sedia untuk bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran.
Amaran itu dikeluarkan ketika Israel terbabit dalam perang yang semakin sengit dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan, manakala Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, mendakwa mereka akan melakukan serangan tanpa tolak ansur.
Jurucakap Tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari, berkata dalam satu taklimat di televisyen bahawa pihaknya bersiap sedia dengan pasukan yang ditingkatkan untuk berdepan sebarang kemungkinan pada hari ulang tahun perperangan berkenaan dan mendakwa mungkin terdapat serangan di kawasan awam.
Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 20 yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah masjid di Gaza pada awal pagi tadi, menurut pegawai perubatan.
Serangan terhadap masjid itu, berhampiran Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, berlaku ketika perang Israel di wilayah Palestin itu menghampiri ulang tahun pertama.
Saksi mengatakan jumlah korban mungkin meningkat kerana masjid itu digunakan untuk menempatkan penduduk Palestin yang dipindahkan selepas kehilangan tempat tinggal.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata mereka ‘melakukan serangan tepat terhadap pejuang Hamas yang beroperasi dalam pusat kawalan dan arahan yang terletak di sebuah bangunan yang dahulunya berfungsi sebagai Masjid ‘Shuhada al-Aqsa’ di kawasan Deir al-Balah.
Walaupun perang di Gaza berterusan pada kadar yang lebih perlahan sekarang, Israel kini memberi tumpuan ke arah Lubnan dan berperang dengan Hizbullah serta Iran yang menyokong kumpulan terbabit.
Tentera Israel mendakwa pihaknya telah membunuh kira-kira 440 pejuang Hizbullah sejak Isnin lalu apabila tentera mereka mula melancarkan operasi darat yang disasarkan terhadap Hizbullah di Lubnan.
Israel berkata, ia bertujuan untuk membenarkan puluhan ribu rakyat Israel yang dipindahkan akibat serangan roket Hizbullah ke utara Israel selama hampir setahun untuk kembali ke kediaman mereka di Israel.
Dalam pada itu, Presiden Israel, Isaac Herzog, menyifatkan Iran sebagai ancaman berterusan selepas negara itu melancarkan kira-kira 200 peluru berpandu ke arah Israel pada Selasa lalu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hizbullah dan Hamas oleh Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan berkata, Iran telah dua kali melancarkan ratusan peluru berpandu ke Israel sejak April lalu.
“Israel mempunyai tanggungjawab dan hak untuk mempertahankan dirinya dan bertindak balas terhadap serangan berkenaan dan itulah yang akan kami lakukan,” katanya.
Pengkritik menuduh Netanyahu menghalang usaha untuk mencapai gencatan senjata di Gaza dan perjanjian untuk membebaskan tebusan yang masih ditahan oleh Hamas.
Seorang sumber kanan Hizbullah berkata mendakwa kumpulan itu telah hilang hubungan dengan Hashem Safieddine, yang dianggap sebagai bakal pemimpin Hizbullah yang seterusnya, selepas serangan udara berlaku di Beirut baru-baru ini.
Hizbullah bagaimanapun setakat ini masih belum menamakan ketua baharu mereka selepas Israel membunuh Hassan Nasrallah pada akhir bulan lalu dalam satu serangan besar di ibu kota Lubnan. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






