Oleh: NurAthirah Azman@lMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan mempertimbangkan sekiranya memerlukan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam di negeri itu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sekiranya ia dilaksanakan, dasar BDR akan dibuat secara penggiliran dan berperingkat.
“Bangunan kerajaan tidak boleh kosong jadi kita kena buat penggiliran sekiranya dasar BDR dilaksanakan.
“BDR ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita kerana kita sudah praktikkan sebelum ini ketika penularan wabak COVID-19, jadi dalam hal ini, kalau situasi itu membebankan penjawat awam, kita akan pertimbangkan.
“Buat masa sekarang ini kita tidak bercadang tetapi bagaimanapun kita akan tengok situasi dari masa ke semasa dan mungkin kita tengok pengalaman sekiranya kita rasakan ada keperluan BDR, dan kita nampak syarikat yang buat BDR itu tidak menjejaskan prestasi, kita boleh buat kajian untuk laksanakan juga,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Beliau berkata, sekiranya situasi berkait harga diesel tidak menunjukkan penurunan, dasar BDR akan dibincangkan.
“Baru-baru ini, saya dimaklumkan satu perjalanan ke Gua Musang mencecah kos RM500, jika situasi ini berterusan ia akan membebankan kita,” katanya.
IMedikel TV






