Home Luar Negara JUMLAH MIGRAN DI EU CECAH 64 JUTA PADA 2025

JUMLAH MIGRAN DI EU CECAH 64 JUTA PADA 2025

8
0

MOSCOW: Memetik laporan Bernama-Sputnik/RIA Novosti menerusi HMetro Online Jumlah migran yang menetap di Kesatuan Eropah (EU) mencecah rekod 64 juta pada 2025, menurut laporan yang diterbitkan oleh Yayasan Rockwool pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“EU kini menempatkan jumlah penduduk kelahiran asing tertinggi, mencecah kira-kira 64 juta pada 2025,” menurut laporan itu.

Yayasan itu mentakrifkan migran sebagai individu yang tinggal di negara berbeza daripada negara kelahiran mereka.

Jumlah migran di EU meningkat sebanyak 60 peratus dalam tempoh 15 tahun lalu, daripada 40 juta pada 2010, menurut laporan itu.

Antara 2024 dan 2025 sahaja, angka itu meningkat kira-kira 2.1 juta.

Peningkatan ketara mula diperhatikan semasa krisis migran Eropah, apabila lebih 1.25 juta orang memohon suaka di EU, kira-kira dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Jerman kekal sebagai destinasi utama, dengan jumlah migran meningkat daripada kira-kira 10 juta pada 2010 kepada hampir 18 juta pada 2025.

Perancis dan Sepanyol turut mencatat pertumbuhan stabil, masing-masing mencapai kira-kira 9.6 juta dan 9.5 juta migran.

Di Itali, peningkatan lebih sederhana, daripada kira-kira 4.6 juta pada 2010 kepada kira-kira 6.9 juta pada 2025.

Negara EU yang lebih kecil seperti Luxembourg, Malta dan Cyprus mencatat bahagian migran tertinggi berbanding jumlah penduduk, menurut kajian itu.

Luxembourg menonjol dengan migran merangkumi kira-kira 52 peratus daripada populasinya, diikuti Malta (32 peratus) dan Cyprus (28 peratus).

Ireland dan Austria juga melaporkan peratusan yang agak tinggi iaitu kira-kira 23 peratus.

Dari segi pelarian, Jerman menempatkan jumlah terbesar iaitu kira-kira 2.7 juta, lebih dua kali ganda berbanding Poland yang berada di tempat kedua dengan kira-kira 1 juta, menurut Yayasan Rockwool.

Perancis mencatatkan kehadiran kira-kira 751,000 pelarian, manakala Sepanyol dan Czech Republic masing-masing menempatkan kira-kira 471,000 dan 381,000 pelarian.

Cyprus mempunyai antara peratusan pelarian tertinggi berbanding populasi pada 4.8 peratus, diikuti Republik Czech (3.5 peratus) dan Jerman (3.2 peratus). – Bernama-Sputnik/RIA Novosti, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here