LAS VEGAS: Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian Presiden UFC, Dana White memberi perkembangan baharu mengenai kepulangan Conor McGregor ke gelanggang UFC dengan menyatakan ia “kelihatan positif”.
Jaguh dari Ireland berusia 37 tahun itu dilaporkan sudah mengadakan rundingan dengan pihak UFC bulan lalu berhubung kemunculan semula yang sekian lama dinantikan.
Walaupun tiada perkembangan besar sejak beberapa minggu lalu sehingga mencetus keraguan dalam kalangan peminat MMA, White menenangkan keadaan dengan kenyataan ringkas bahawa proses berkenaan berada di landasan baik.
McGregor kini disasarkan membuat kemunculan semula di UFC 329 pada 11 Julai nanti.
Jika pertikaian kontraknya berjaya diselesaikan, dia dijangka menjadi acara utama bagi kad International Fight Week.
“Percayalah, sebaik saja perjanjian dimuktamadkan dengannya, kami akan umumkan,” kata White.
Bekas juara dua divisyen itu tidak pernah beraksi sejak patah kaki kiri ketika pertarungan trilogi menentang Dustin Poirier hampir lima tahun lalu.
McGregor sepatutnya kembali beraksi pada Jun 2024 menentang Michael Chandler, namun terpaksa menarik diri akibat kecederaan jari kaki kiri.
Setakat ini, lawan baharu masih belum dimuktamadkan, namun laporan menyebut aksi ulangan menentang bekas juara featherweight, Max Holloway, sedang dipertimbangkan.
McGregor bagaimanapun dilihat tidak terlalu memilih lawan dan berjanji akan kembali dengan kemenangan bergaya.
“Saya akan kembali melakukan apa yang saya biasa lakukan. Menumbangkan lawan demi ganjaran saya,” kata McGregor menerusi Instagram. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






