LONDON: Memetik laporan REUTERS menerusi Harian Metro bekas juara tinju dunia, Oscar De La Hoya tampil di hadapan Senat Amerika Syarikat dan menentang cadangan perubahan terhadap sistem sedia ada yang dikawal di bawah Muhammad Ali Boxing Reform Act yang diperkenalkan sejak 2000 bagi melindungi peninju daripada amalan eksploitasi.
Sesi pendengaran bertajuk “Return to Your Corners: Have Federal Boxing Laws Gone the Distance or Slipped the Jab?” diadakan sebulan selepas Dewan Perwakilan meluluskan Muhammad Ali American Boxing Revival Act.
Jika ia diluluskan menjadi undang-undang, membolehkan penubuhan satu entiti tunggal yang menggabungkan promosi, ranking, gelaran dan badan pengiktirafan di bawah satu bumbung.
“Ini adalah perubahan kuasa yang besar dan jika dilaksanakan, ia akan meletakkan keuntungan korporat di hadapan serta peninju di belakang.
“Kita perlu jelas siapa yang mendapat manfaat daripada perkara ini,” kata De La Hoya kepada Jawatankuasa Senat mengenai Perdagangan, Sains dan Pengangkutan.
Tiga dekad lalu, Kongres menetapkan piawaian tinju persekutuan menerusi Professional Boxing Safety Act. Empat tahun kemudian, piawaian itu diperketatkan dengan pengenalan Muhammad Ali Boxing Reform Act.
Kedua-duanya yang dikenali sebagai Akta Ali membentuk rangka kerja persekutuan bagi tinju profesional, bertujuan menangani konflik kepentingan dalam industri serta memperkukuh kuasa rundingan peninju.
Bulan lalu, Dewan Perwakilan meluluskan Revival Act bagi memudahkan tinju diuruskan seperti liga sukan profesional lain. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






