RAWANG: Memetik laporan menerusi Harian Metro bekas suami Adira Suhaimi yang juga usahawan, Datuk Red, 48, menepis dakwaan penyanyi itu kononnya beliau meletakkan beberapa syarat untuk menarik kes pengesahan lafaz rujuk di mahkamah.
Red atau nama sebenarnya, Adnan Abu, menjelaskan beliau tidak pernah membuat sebarang tawaran rasmi, termasuk membabitkan tuntutan wang ringgit berjumlah RM100,000 serta permintaan menggugurkan kes saman sivil berkaitan hutang.
“Saya tidak ada apa-apa syarat kepada dia. Tujuan saya memfailkan kes pengesahan lafaz rujuk ini di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hanya untuk mendapatkan kepastian dari sudut hukum syarak mengenai status hubungan perkahwinan kami.
“Benda ini bukannya hendak berjual beli. Sebagai seorang lelaki dan suami, andai kata rujuk ini tidak sah, maka tidak apalah. Jangan takut dan sabar peminat Adira, kalau rujuk ini sah pun, saya sendiri yang akan pergi memohon untuk berpisah nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Red yang ditemui di pekarangan mahkamah hari ini hadir bagi memberi kenyataan penuh selaku plaintif dalam perbicaraan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie, Nurul Hidayah Jani.
Dalam pada itu, Red turut mengakui beliau sudah tidak berhasrat untuk meneruskan kehidupan sebagai suami isteri kerana menyifatkan hubungan mereka kini sudah menjadi toksik.
“Saya pun tidak mahu teruskan perkahwinan ini kerana ia akan menjadi toksik. Dia toksik. Orang mungkin ingat saya tidak ‘move on’ atau gila talak, tetapi hakikatnya saya cuma mahu dapatkan pengesahan saja. Peguam saya menasihatkan agar urusan ini dibuat di mahkamah bagi mengelakkan risiko hukuman penjara jika dibuat di luar,” jelasnya lagi.
Red berharap kemelut tersebut dapat diselesaikan dengan segera tanpa perlu menjadi lebih rumit.
Untuk rekod, Red dan Adira berkahwin pada 3 Disember 2015 namun sah bercerai pada 24 April 2024. Hasil perkahwinan selama sembilan tahun itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata. – HMetro Online –
IMedikel TV






