Home Buletin Semasa POLIS SAHKAN WARGA EMAS MAUT DIKLASIFIKASIKAN KES BUNUH

POLIS SAHKAN WARGA EMAS MAUT DIKLASIFIKASIKAN KES BUNUH

27
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan kes berhubung seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun yang meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Mangsa dipercayai mengalami kecederaan di bahagian kepala dalam kejadian di sebuah kediaman di Kampung Masjid, Baung Bayam di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, pada Isnin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kira-kira jam 6.30 petang pada Selasa.

“Kita sudah menahan seorang individu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang perselisihan faham atau pertengkaran sebelum itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusoff berkata, mangsa ditempatkan di Zon Merah hospital berkenaan dan diberikan rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan sebelum dimasukkan ke wad.

Bagaimanapun ujarnya, mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan Jabatan Forensik HRPZ II mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan daya tumpul pada kepala sehingga menyebabkan keretakan tulang tengkorak serta pendarahan dalam otak,” katanya.

Polis kelantan menegaskan bahawa sebarang bentuk keganasan yang mengakibatkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa adalah satu kesalahan berat di sisi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

”Kerjasama masyarakat amat dihargai dalam memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar, telus dan berkeadilan.

”Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here