KUALA LUMPUR: Masih belum hadir rezeki buat aktor tampan, Hun Haqeem untuk menggenggam sekurang-kurangnya satu pengiktirafan sama ada berlandaskan populariti atau terbaik dalam arena lakonan.
Biarpun membintangi pelbagai drama popular sejak 2019 seperti Kampung People, Imam Instant Ustazah Scammer dan naskhah adaptasi Korea Selatan, W: Two Worlds, namun, rezeki Hun belum tiba.
Bagaimanapun, Hun atau nama sebenar, Haqeem Hermy, 26, optimis bahawa penat lelah dan usahanya dalam memberi yang terbaik untuk setiap karya, pasti terbayar, suatu masa nanti.
Sudah semestinya pelakon kelahiran Kuching, Sarawak itu mempunyai impian diangkat atas bakat yang sudah dicurahkan dalam bidang lakonan, namun, tidaklah meletakkan harapan terlalu tinggi.
Justeru, Hun bersyukur berjaya membolosi senarai awal calon Top 20 bagi kategori Aktor TV Popular dan Couple Drama Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36.
Lebih membanggakan, Hun bolos kelompok 36 artis dengan undian tertinggi setakat ini.
“Bagi saya, sudah tentu ada impian untuk genggam trofi popular mahupun terbaik dalam lipatan sejarah kerjaya. Namun, saya tidaklah terlalu kejar atau letak harapan tinggi.
“Bagi saya, pengiktirafan dalam bidang seni akan datang bila sudah tiba masa sama ada cepat atau lambat. Saya hanya perlu terus memberikan yang terbaik dalam kerjaya.
“Saya percaya anugerah akan hadir pada masa saya benar-benar layak menerimanya. Jadi, saya perlu fokus dengan apa yang sedang dilakukan sekarang,” katanya kepada BH Online.
Mengulas pencalonannya dalam ABPBH 36, Hun yang diperkenalkan menerusi drama Cari Aku Di Syurga pada 2019 gembira apabila penat lelah dalam menjayakan setiap naskhah berbaloi.
Malah, katanya, ini juga untuk peminat yang tidak jemu memberi sokongan untuknya memberikan hasil kerja yang terbaik.
“Saya gembira apabila tahu dicalonkan dalam ABPBH 36. Bagi saya, apa yang dibuat adalah untuk peminat yang menonton.
“Tidak tidur malam, cedera dan segala pengorbanan dilakukan untuk mereka yang menonton lakonan saya. Saya sangat hargai dan akan terus berikan hasil kerja yang terbaik.
“Saya terharu kerana naskhah dilakonkan diiktiraf dan ramai orang suka. Saya harap boleh buat lebih bagus pada masa akan datang.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong terutama peminat saya,” katanya.
Bagi kategori Couple Drama Popular, Hun dicalonkan bersama Daiyan Trisha menerusi drama adaptasi Korea Selatan, W: Two Worlds dan Mira Filzah menerusi drama Imam Instant Ustazah Scammer.
Sejak terbabit dalam industri lakonan tanah air, ini adalah kali ketiga Hun dicalonkan dalam ABPBH. Kali pertama menerusi kategori Artis Baharu Lelaki Popular, ABPBH 33 dan tahun lalu, menerusi kategori Aktor TV Popular.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama. – BH Online –
IMedikel TV






