KUALA LUMPUR: Kerap diberikan watak wanita antagonis dan penyondol membuatkan pelakon Nadia Brian bimbang imej berkenaan terus melekat sehingga membataskan peluangnya meneroka sisi lain kemampuan lakonan.
Memetik laporan Berita Harian, Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 35, mengakui mula memikirkan sejauh mana dia perlu terus membawakan karakter sedemikian, sedangkan masih banyak watak lain yang ingin diterokainya.
Katanya, dia tidak pernah menganggap karakter antagonis yang sering dibawakan sebagai mudah untuk dijayakan, sebaliknya setiap watak memerlukan penelitian dan penghayatan tersendiri supaya lakonan tidak kelihatan mendatar.
“Saya sebenarnya ada juga terfikir, sampai bila hendak bawa watak seperti ini? Takut juga kalau menjadi badi. Namun, sebenarnya watak sebegitu memerlukan usaha yang lebih.
“Saya rasa saya antara artis yang konsisten mendapat watak yang hampir sama. Saya boleh buat lebih daripada watak itu, termasuk karakter yang tidak memerlukan solekan.
“Jadi, saya percaya masih banyak karakter lain yang boleh saya jayakan,” katanya ditemui pada majlis pelancaran telefilem Like & Latte di ibu negara, baru-baru ini.
Pelakon drama Akulah Balqis itu turut mendedahkan pernah menolak tawaran membawakan watak penyondol kerana mahu mencuba karakter berbeza dan tidak mahu terlalu terikat dengan imej sama.
Dalam pada itu, Nadia menyimpan impian untuk mencabar kemampuan lakonannya menerusi karya biopik yang memerlukan penghayatan mendalam, termasuk kisah legenda Mahsuri.
Katanya, dia tertarik untuk menghidupkan karakter wanita yang mempunyai kekuatan jiwa, selain memerlukan persediaan emosi dan fizikal lebih mencabar.
“Saya teringin membawa watak lebih mencabar, terutama biopik yang memerlukan saya menghidupkan karakter wanita berjiwa kuat,” katanya.
Bukan sekadar bergantung kepada kemampuan menghafal dialog dan menyampaikan emosi, Nadia turut mengambil berat aspek penampilan sehingga sanggup menggunakan wang sendiri untuk mendapatkan pakaian bersesuaian dengan karakter.
Katanya, sebahagian besar pakaian yang digunakan ketika penggambaran adalah koleksi peribadinya, selain memperuntukkan sebahagian wang gaji untuk membeli pakaian mengikut keperluan babak.
“Saya tidak kisah mengeluarkan duit sendiri untuk menjayakan watak yang dibawa. Kebanyakan pakaian yang saya pakai ketika penggambaran adalah daripada koleksi sendiri.
“Duit gaji yang saya dapat akan diasingkan untuk membeli pakaian bagi beberapa babak yang memerlukannya.
“Kalau diberi peluang, saya juga tidak kisah melakukan perubahan penampilan demi menjayakan watak,” katanya.
Bagaimanapun, Nadia menegaskan inisiatif itu bukan bermakna dia tidak mempercayai kemampuan pasukan penata kostum produksi, sebaliknya mahu membantu meringankan tugasan mereka.
“Bukan bermaksud saya tidak percaya kepada pihak penata kostum produksi, tetapi kita boleh membantu meringankan beban mereka. Kalau ada kemampuan, apa salahnya kita keluarkan sedikit perbelanjaan untuk menjayakan watak.
“Industri kita bukanlah terlalu besar. Lambat-laun kita akan bertemu dan bekerja bersama lagi. Jadi, penting untuk kita saling bekerjasama dan tidak menyusahkan pihak lain hanya kerana kepentingan atau ego sendiri,” katanya. – BH Online –
IMedikelTV






