Home Buletin Semasa IBU DERITA SAKIT JANTUNG TABAH BESARKAN DUA ANAK OKU

IBU DERITA SAKIT JANTUNG TABAH BESARKAN DUA ANAK OKU

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

BACHOK: Menghidap penyakit jantung tidak menghalang Wan Noor Maziah Wan Abdullah, 49, daripada terus menjaga dua anaknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), termasuk seorang yang menghidap penyakit genetik jarang berlaku, Sindrom Tangisan Kucing atau Cri du Chat Syndrome.

Wan Noor Maziah dari Kampung wakaf Aik berkata, anak sulungnya, Hafizul Rahman Mazlan, 21, yang mesra dipanggil Abe Joe, menghidap sindrom berkenaan, manakala anak keduanya, Nur Qaseh Ummairah Mazlan, 13, didiagnosis dengan Complex Chromosomal Abnormality.

Menurutnya, kedua-dua penyakit itu berpunca daripada keabnormalan kromosom sejak lahir yang turut menjejaskan perkembangan fizikal dan mental anak-anaknya.

Katanya, doktor memaklumkan Abe Joe mengalami kehilangan sebahagian lengan pendek pada kromosom nombor lima, manakala anak perempuannya turut mengalami keabnormalan kromosom.

“Ketika lahir, anak mengeluarkan bunyi seakan kucing sehingga kalau ke kedai atau bawa anak, orang sangka dengar bunyi kucing, tapi saya maklum, itu suara anak saya.

“Anak saya menghidap sindrom tangisan kucing yang dikesan berlaku pada satu bayi daripada 20,000 hingga 50,000 kelahiran di dunia,” katanya.

Wan Noor Maziah berkata, beliau perlu menjaga kedua-dua anaknya sepanjang masa termasuk menguruskan keperluan harian seperti mandi, makan dan minum.

Katanya, Abe Joe terlantar seperti bayi, manakala Nur Qaseh boleh bangun sendiri tetapi mempunyai tingkah laku sedikit agresif dan perlu sentiasa dipantau.

Lebih mencabar, Wan Noor Maziah sendiri dikesan menghidap penyakit jantung kira-kira dua tahun lalu, namun terpaksa menolak pembedahan kerana bimbang risiko yang mungkin dihadapi selain memikirkan keadaan anak-anaknya.

Beliau turut mengalami masalah slip disc akibat kerap mengangkat kedua-dua anaknya yang masing-masing mempunyai berat kira-kira 20 kilogram dan 50 kilogram.

Menurutnya, keluarga itu kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pendapatan suaminya, Mazlan Ab Rahman, 60, yang bekerja di sebuah tempat pemprosesan ayam mentah dengan menerima gaji harian.

Katanya, mereka memerlukan hampir RM2,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan lampin pakai buang, makanan cecair seperti Nestum dan susu untuk kedua-dua anaknya.

“Ketika terputus kewangan, kami hanya menyuap bubur kerana anak tidak boleh menelan makanan pepejal, selain terpaksa berhutang dengan ahli keluarga lain jika keadaan mendesak,” katanya.

Beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai masa depan anak-anaknya sekiranya dirinya tiada lagi untuk menjaga mereka.

“Dua tahun lalu, saya pula dikesan menghidap sakit jantung, namun terpaksa menolak pembedahan kerana bimbang risiko yang dihadapi selain memikirkan anak-anak.

“Malah, saya pernah berdoa agar anak pergi dulu sebelum saya kerana takut tiada yang mahu menjaga mereka jika saya sudah tiada,” katanya.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Pengerusi Persatuan Generasi Sejahtera (I Sejahtera) Malaysia, Datuk Mohammad Hamizan Amzah yang menyampaikan sumbangan kewangan serta bantuan keperluan termasuk lampin pakai buang dan makanan bayi.

Mohammad Hamizan berkata, kedua-dua anak Wan Noor Maziah akan dijadikan anak angkat I Sejahtera Malaysia dengan diberikan bantuan bulanan bagi menampung keperluan mereka.

Katanya, setakat ini seramai 116 anak asnaf termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik dan dalam kategori OKU menerima bantuan persatuan itu, merangkumi bantuan kewangan serta perubatan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here