Home Luar Negara TENTERA SUDAN BERUSAHA PULIHKAN KESELAMATAN DI NEGERI BLUE NILE

TENTERA SUDAN BERUSAHA PULIHKAN KESELAMATAN DI NEGERI BLUE NILE

KHARTOUM/ISTANBUL: Pihak berkuasa Sudan di negeri Blue Nile pada Jumaat memaklumkan tentera masih mengawal dan sedang berusaha memulihkan keselamatan di bahagian selatan negeri itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Memetik laporan Bernama menerusi Berita Harian, Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) mendakwa menguasai lima kawasan di Blue Nile iaitu Khor Mak, City 10, City 11, Sinja Nabag dan Kampung Al-Taqa, tanpa sebarang ulasan segera daripada pihak tentera.

Kawasan berkenaan terletak dalam lingkungan 80 kilometer dari ibu negeri Blue Nile, Damazin.

Jurucakap kerajaan Blue Nile, Saif al-Nasr Min Allah Mahmoud, berkata kerajaan tempatan sedang memantau rapi perkembangan keselamatan dan operasi ketenteraan di selatan negeri itu.

“Kami memahami kebimbangan dan perasaan panik penduduk serta hakikat peperangan membabitkan kemaraan dan pengunduran, namun keadaan sebenar di lapangan tidak seperti yang digambarkan di media sosial,” kata Mahmoud. 

Mahmoud menggesa penduduk supaya kekal tenang dan menyokong tentera sehingga kestabilan dan keselamatan kembali pulih di negeri itu.

Beliau berkata, kepimpinan politik dan ketenteraan Blue Nile sedang menyelaraskan usaha untuk mengusir RSF dari negeri berkenaan.

Mahmoud turut menuduh RSF menyebarkan perasaan panik, khabar angin dan maklumat palsu di media sosial, termasuk dakwaan pasukannya semakin hampir dengan ibu negeri itu.

Beliau berkata, Divisyen Keempat Infantri tentera sedang melakukan pengorbanan di barisan hadapan.

Terdahulu pada Jumaat, kerajaan tempatan di Geissan, Blue Nile, memaklumkan perkembangan di City 12 ialah sebahagian daripada gerakan taktikal di medan pertempuran dan tidak bermakna tentera mengalami kekalahan.

Menurut kerajaan tempatan itu, angkatan tentera sedang mengendalikan pertempuran dan akan menyusun semula kedudukan bagi menamatkan pertempuran berkenaan, sambil menyifatkan kesudahannya sebagai hanya menunggu masa.

RSF pada Khamis mendakwa menguasai City 12 dan kawasan Dereng selepas bertempur dengan tentera kerajaan.

Pada hari yang sama, tentera memaklumkan pihaknya melaksanakan operasi ketenteraan di Dereng dengan memusnahkan 28 kenderaan tempur RSF dan merampas 18 lagi kenderaan lain.

Negeri Blue Nile menyaksikan peningkatan operasi ketenteraan sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan serangan RSF dan sekutunya, Sudan People’s Liberation Movement-North, di beberapa kawasan.

Peperangan di antara tentera dan RSF yang tercetus pada 2023 akibat perselisihan faham mengenai integrasi institusi ketenteraan sudah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan kira-kira 13 juta penduduk kehilangan tempat tinggal. – BERNAMA, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here