Home Buletin Semasa PENDERMAAN TULANG AIDIL BAKAL BANTU PULUHAN PESAKIT, DOKTOR AKUI SEBAK JALANKAN AMANAH

PENDERMAAN TULANG AIDIL BAKAL BANTU PULUHAN PESAKIT, DOKTOR AKUI SEBAK JALANKAN AMANAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pendermaan tulang oleh Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, dijangka memberi manfaat kepada puluhan pesakit, sekali gus meneruskan sumbangannya kepada orang lain meskipun selepas pemergiannya.

Perkara itu dikongsikan Dr Syahr Musafir, doktor yang terlibat dalam prosedur pembedahan pendermaan organ dan tisu Allahyarham di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau mengakui emosinya agak terganggu sejak sehari sebelum prosedur berkenaan, malah berasa sebak ketika berada di dewan bedah pada pagi pembedahan.

Beliau turut berkongsi bahawa dirinya tidak menjamah makanan sejak pagi, namun sehingga tengah hari masih tidak berasa lapar kerana mahu memberikan sepenuh perhatian terhadap tugas yang perlu dilaksanakan.

Menurutnya, beliau sentiasa mengingatkan diri bahawa pendermaan tulang oleh Allahyarham merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Arwah dermakan tulang. Amanah untuk kita ambil dengan baik. Amanah untuk kita kembalikan arwah dengan baik. Amanah untuk kita pastikan tulang-tulang ini dijaga dan akhirnya nanti boleh digunakan untuk merawat para pesakit lain dengan baik. Semua ini amanah,” katanya.

Dr Syahr turut menyifatkan setiap individu yang terlibat dalam prosedur itu mempunyai peranan masing-masing, manakala Allahyarham meneruskan peranannya sebagai penderma meskipun sudah meninggal dunia.

Beliau memaklumkan buah pinggang, paru-paru, hati dan kornea Allahyarham sudah membantu ramai orang, manakala pendermaan tulang pula dijangka memberi manfaat kepada puluhan pesakit.

Dalam perkongsian sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga Allahyarham, termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya, kerana membenarkan pendermaan berkenaan dilakukan.

Beliau menyifatkan keluarga Allahyarham sebagai insan yang baik dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here