Home Buletin Semasa KORNEA DERMA ORGAN BAKAL DIPINDAH, HRPZ II TERUS NYALAKAN LAMPU HIJAU SEMINGGU

KORNEA DERMA ORGAN BAKAL DIPINDAH, HRPZ II TERUS NYALAKAN LAMPU HIJAU SEMINGGU

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akan terus menyalakan lampu hijau di pekarangan hospital itu selama seminggu sebagai simbol penghargaan terhadap kejayaan pendermaan organ dan tisu daripada seorang penderma di Kelantan.

Menurut laman sosial Facebook HRPZ II, proses pemindahan kornea dijadualkan berlangsung minggu ini membabitkan seorang pesakit yang menerima rawatan di HRPZ II.

Tambahnya, perkembangan itu hadir selepas kejayaan pelaksanaan pemindahan dua buah pinggang daripada penderma berkenaan kepada dua pesakit yang memerlukan di hospital penerima.

Menurut hantaran itu lagi, lampu hijau yang menerangi kawasan hospital itu membawa mesej kesedaran mengenai kepentingan pendermaan organ dan tisu dalam memberi peluang kehidupan baharu kepada pesakit.

Jelasnya, pihak hospital menyifatkan keputusan keluarga penderma untuk membenarkan organ dan tisu diambil selepas kematian sebagai satu pengorbanan yang amat bermakna.

“Di sebalik kehilangan insan tersayang, tersimpan sebuah harapan baharu buat mereka yang sedang menantikan peluang untuk meneruskan kehidupan.

“Pendermaan organ bukan sahaja berpotensi menyelamatkan nyawa malah mampu mengubah kehidupan penerima yang sebelum ini bergantung kepada rawatan berterusan,” menurut kenyataan itu.

HRPZ II turut merakamkan penghargaan kepada penderma dan ahli keluarga atas keprihatinan serta kesediaan mereka membuat keputusan yang memberi manfaat kepada pesakit lain.

Orang awam yang ingin menyatakan ikrar sebagai penderma organ boleh mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pesakit untuk meneruskan kehidupan melalui pemindahan organ pada masa hadapan.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here