Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Kerajaan Pahang mengagihkan insentif lebih RM809,000 kepada atlet yang berjaya meraih pingat pada Sukan Malaysia ke-22 (SUKMA) Selangor 2026, Ogos lalu.
Turut menerima imbuhan ialah atlet Para SUKMA, mereka yang menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa menerusi 20th Asian Games Aichi-Nagoya 2026 dan 5th Asian Para Games Aichi-Nagoya 2026 serta kecemerlangan akademik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Pahang 2026 disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini kelmarin.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri sentiasa komited menghargai pencapaian dan pengorbanan atlet yang telah mengharumkan nama Pahang diperingkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Diharapkan insentif yang diberikan ini dapat membakar semangat semua atlet dan meletakkan Pahang sentiasa dihadapan sama dengan aspirasi Pahang 1st.
“Insentif ini diperuntukkan kepada atlet dan warga sukan Pahang atas pencapaian serta kecemerlangan yang dilakar dipentas SUKMA dan Para SUKMA termasuk Asian Games Aichi-Nagoya 2026 serta 5th Asian Para Games Aichi-Nagoya 2026,” katanya.
Beliau menambah, atlet yang mencatat keputusan cemerlang dalam bidang akademik pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut disediakan insentif sebagai penghargaan diatas kejayaan yang diraih.
Katanya, pemberian insentif ini juga merupakan tanda penghargaan terhadap usaha, disiplin dan komitmen para atlet, jurulatih dan barisan pegawai selain menjadi suntikan semangat untuk terus meningkatkan prestasi serta melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Penembak negara, Cheah Zen Hong yang meraih 9 pingat emas dan 1 perak pada SUKMA Selangor seterusnya dinobatkan sebagai Olahragawan SUKMA 2026 muncul atlet tertinggi meraih insentif dengan RM46,000.
IMedikel TV






