Home Sukan MARQUEZ INTAI GELARAN DUNIA KE-10 DI PORTIMAO

MARQUEZ INTAI GELARAN DUNIA KE-10 DI PORTIMAO

PORTIMAO: Litar Autodromo Internacional do Algarve yang mempunyai selekoh berliku serta permukaan berbukit menjadikannya antara litar paling mencabar dari segi teknikal dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, namun, meskipun litar itu menguji keupayaan pelumba dan kestabilan jentera, Marc Marquez masih belum pernah memenangi perlumbaan di litar itu, walaupun berpeluang mengesahkan gelaran dunia kelas perdana kelapannya hujung minggu ini.

Marquez pernah mempamerkan aksi cemerlang di Portimao. Kejayaannya meraih petak utama pada 2023 menjadi bukti kemampuan itu, selain menamatkan perlumbaan pecut di pentas podium pada tahun sama.

Malah, litar berkenaan turut menjadi lokasi kemunculan semula penuh emosi pelumba Sepanyol itu selepas pulih daripada kecederaan pada 2021, susulan insiden patah tulang lengan kanan yang dialaminya pada 2020.

Bagaimanapun, perlumbaan pada 2023 tidak berakhir dengan baik buat Marquez apabila dia tersilap mengagak selekoh ketiga pada awal perlumbaan Grand Prix (GP) sehingga terjatuh dan mengalami patah ibu jari. Insiden itu turut menyebabkan pelumba Portugal, Miguel Oliveira terkeluar daripada perlumbaan.

Dia juga terbabit dalam insiden pelanggaran dengan Francesco Bagnaia pada 2024 ketika sedang berada di landasan untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Pada masa sama, Marquez juga beberapa kali terlepas perlumbaan di Portimao. Tahun lalu, dia tidak beraksi selepas mengalami kecederaan bahu ketika GP Indonesia.

Pada 2022, dia turut terlepas perlumbaan Portugal susulan kemalangan besar ketika sesi pemanas badan di Indonesia. Perlumbaan pertama di Portimao pada 2020 pula berlangsung sebelum kemunculan semulanya pada 2021.

Justeru, meskipun litar berkenaan secara teorinya sesuai dengan gaya tunggangan Marquez kerana ciri teknikalnya yang menguji bakat serta keyakinan pelumba, keadaan itu jarang memberikan hasil positif buatnya.

Bagaimanapun, selepas mencatat keputusan tempat pertama dan kedua dalam dua perlumbaan di Lusail dua minggu lalu, Marquez kini mempunyai peluang cerah untuk mengesahkan gelaran dunia ke-10 dalam kariernya minggu ini.

Namun, seperti pendiriannya ketika masih berpeluang secara matematik untuk meraih gelaran di Qatar, Marquez menegaskan pendekatannya tidak akan berubah.

“Kami melakukan tugas dengan baik di Qatar. Di litar yang sering menyukarkan saya sebelum ini, kami berjaya memperoleh dua keputusan yang baik dan membolehkan kelebihan dalam kejuaraan terus ditingkatkan.

“Di sini kami mempunyai peluang untuk menyelesaikan misi, tetapi pendekatan kami tidak boleh berubah. Kami perlu kekal berpijak di bumi nyata dan memberikan yang terbaik secara berperingkat, bermula Jumaat sehingga perlumbaan Ahad.

“Portugal mempunyai litar yang cukup menarik, sangat teknikal dan mencabar. Saya belum begitu bernasib baik di sini sebelum ini, jadi tumpuan maksimum amat penting,” kata Marquez menjelang GP Portugal. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here