Home Sukan KAMI SEDANG CIPTA SESUATU YANG ISTIMEWA – KLOPP

KAMI SEDANG CIPTA SESUATU YANG ISTIMEWA – KLOPP

Berlin: Ketua jurulatih Jerman, Jurgen Klopp percaya pasukannya sedang membina sesuatu yang istimewa selepas membelasah Belanda 5-0 dalam aksi Liga Negara-Negara di Berlin, awal pagi tadi.

Memetik laporan Afp menerusi Berita Harian, Jerman yang memulakan perlawanan di tangga ketiga kumpulan berjaya menamatkan saingan di kedudukan teratas selepas kemenangan besar itu, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara.

Bekas pengendali Liverpool itu mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih Jerman pada musim panas lalu selepas juara dunia empat kali itu tersingkir awal daripada Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

Dengan tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Jerman serta kontrak yang merangkumi Euro 2028 dan Piala Dunia 2030, Klopp percaya pasukannya mempunyai kemampuan untuk mencipta sesuatu yang besar.

“Semua orang akan pulang dengan senyuman dan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga atau empat bulan akan datang, tiada siapa akan mempersoalkan pasukan kebangsaan Jerman.

“Sebaliknya, mereka akan mula berfikir: ‘Pasukan ini sebenarnya mampu mencipta sesuatu yang istimewa’.

“Kami mempunyai pemain bola sepak yang hebat dan personaliti yang luar biasa. Malah, pemain-pemain ini juga semakin terkejut dengan kemampuan mereka sendiri,” kata Klopp kepada stesen penyiar ARD.

Jerman mempamerkan aksi cukup dominan apabila berulang kali menembusi pertahanan Belanda yang sebelum ini belum pernah tewas dalam saingan Liga Negara-Negara musim ini.

Florian Wirtz meledak dua gol manakala Derry Scherhant, Nico Schlotterbeck dan Brajan Gruda masing-masing menyumbang satu jaringan, dengan Gruda turut mencipta dua bantuan gol.

Perlawanan itu berlangsung 150 hari selepas Jerman tersingkir pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia susulan kekalahan kepada Paraguay, dan Klopp memuji kualiti pemain sedia ada serta generasi baharu yang sedang berkembang.

“Kami mempunyai beberapa pemain yang luar biasa di sini dan generasi seterusnya juga sedang menunjukkan peningkatan,” katanya.

Lawan Jerman pada suku akhir masih belum diketahui dengan undian dijadualkan berlangsung di Switzerland pada Jumaat ini.Antara kemungkinan lawan mereka ialah juara dunia Sepanyol, Portugal atau Belgium.

“Saya sudah melihat senarai pasukan yang berpotensi menjadi lawan. Memang barisan pencabar yang sangat sukar. Saya sudah tidak sabar menantikannya,” katanya. – AFP, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here