SEOUL: Korea Selatan mengerahkan jet pejuang selepas beberapa pesawat tentera Russia memasuki zon pertahanan udaranya pada awal pagi ini.
Memetik laporan Afp menerusi Berita Harian, Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) berkata, pesawat tentera Russia yang jumlahnya tidak didedahkan itu memasuki dan kemudian meninggalkan Zon Pengenalan Pertahanan Udara Korea (KADIZ) di Laut Timur, yang turut dikenali sebagai Laut Jepun.
“Pasukan tentera kami mengesan pesawat Russia sebelum memasuki KADIZ dan mengerahkan jet pejuang Tentera Udara untuk mengambil langkah taktikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” menurut kenyataan ringkas JCS.
Zon pertahanan udara bukan ruang udara milik sesebuah negara, sebaliknya kawasan yang digunakan untuk mengesan dan mengenal pasti pesawat yang menghampiri negara berkenaan atas faktor keselamatan.
Pesawat tentera lazimnya perlu memaklumkan kepada negara terbabit sebelum memasuki zon itu, walaupun tiada kewajipan undang-undang untuk berbuat demikian.
Seoul menegaskan pesawat Russia berkenaan tidak memasuki ruang udara Korea Selatan.
Pada Jun lalu, lebih 10 pesawat tentera China dan Russia turut memasuki zon pertahanan udara Korea Selatan, menyebabkan Seoul mengerahkan jet pejuang sebagai tindak balas.
Bagaimanapun, pesawat berkenaan juga tidak memasuki ruang udara Korea Selatan.
Beijing ketika itu menyifatkan latihan bersama Russia sebagai “rondaan udara strategik” di Laut Jepun, Laut China Timur dan Lautan Pasifik Barat bagi memastikan keamanan serta kestabilan rantau ini.
China bagaimanapun tidak menyebut secara khusus mengenai Korea Selatan atau zon pertahanan udaranya. – AFP, BH Online –
IMedikelTV






