Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Golongan remaja belasan tahun hingga awal 20-an dikenal pasti sebagai kumpulan paling ramai melakukan kesalahan pengubahsuaian motosikal secara ekstrem di Pulau Pinang, malah terdapat penunggang berusia bawah 16 tahun yang dikesan menunggang tanpa memiliki lesen memandu yang sah.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri , Zulkifly Ismail berkata, trend itu membimbangkan kerana kebanyakan mereka bukan sahaja mengubah suai motosikal sehingga menyalahi undang-undang, malah turut membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa supaya memainkan peranan lebih aktif memantau penggunaan motosikal oleh anak-anak, termasuk memastikan mereka memiliki lesen memandu yang sah serta tidak melakukan pengubahsuaian yang melanggar undang-undang.
“Kebanyakan pesalah yang kita kesan terdiri daripada remaja belasan tahun hingga awal 20-an. Malah, ada juga penunggang berusia bawah 16 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.
“Ibu bapa perlu lebih peka dan mengetahui bagaimana motosikal digunakan oleh anak-anak. Jangan biarkan mereka mengubah suai motosikal sehingga menyalahi undang-undang dan membahayakan keselamatan,” katanya pada Sidang Media Op Motosikal (Ekstrem) di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 19 November tahun ini, JPJ Pulau Pinang mengeluarkan kompaun berjumlah RM218,100 terhadap 1,006 motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan, selain menyita 98 motosikal yang didapati diubah suai secara ekstrem.
Beliau berkata, antara kesalahan yang paling kerap dikesan ialah penggunaan tayar yang tidak mengikut spesifikasi asal atau lebih dikenali sebagai ‘tayar sotong’, selain pengubahsuaian sistem ekzos yang menghasilkan bunyi bising melampau, pemanjangan lengan ayun (swing arm) serta pengubahsuaian pada sistem brek dan enjin yang boleh menjejaskan tahap keselamatan motosikal.
“Sebanyak 74 tindakan diambil terhadap motosikal yang menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, diikuti 36 kes penggunaan tayar yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
“JPJ turut mengesan 28 kes membabitkan pengubahsuaian ekzos, 27 kes penukaran swing arm, 26 kes pengubahsuaian sistem brek, empat kes mengganggu nombor casis dan 68 lagi kesalahan teknikal lain,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifly berkata, terdapat pemilik motosikal yang sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi mengubah suai motosikal mereka sehingga kosnya melebihi harga asal motosikal berkenaan.
“Hobi mengubah suai motosikal tidak menjadi kesalahan, namun apabila motosikal yang diubah suai sehingga melanggar peraturan digunakan di jalan raya, ia menjadi satu kesalahan.
“Ada yang sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mengubah suai motosikal sedangkan harga asal motosikal itu hanya sekitar RM6,000,” katanya.
Beliau berkata, JPJ akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kegiatan pengubahsuaian motosikal ekstrem, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.
IMedikel TV






