Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV
KOTA BHARU: “Saya tahu apabila hospital pasang lampu hijau, itu tandanya ada orang derma atau terima organ,” kata seorang pengunjung Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang melihat sendiri pancaran lampu hijau di pekarangan hospital itu.
Pemandu lori dari Kampung Bunut Payong, di sini, Amirul Syakir Hussain, 33, berkata, dia semakin memahami simbolik lampu hijau yang dipasang di hospital hasil pendedahan menerusi media dan laporan mengenai pendermaan organ.
Menurutnya, dia tiba di HRPZ II kira-kira jam 9 malam tadi untuk menjaga bapanya yang menerima rawatan sebelum menyedari pancaran lampu hijau di sekitar bangunan Rawatan Harian hospital berkenaan.

“Saya baru tengok berita mengenai pemasangan lampu hijau di Hospital Universiti Sains Malaysia (HPUSM) malam kelmarin kerana ada pemuda yang menderma organ.
“Hari ini saya dapat tengok sendiri lampu hijau dipasang di HRPZ II,” katanya kepada I Medikel TV, hari ini.
Amirul Syakir berkata, masyarakat kini semakin peka bahawa pemasangan lampu hijau di hospital mempunyai kaitan rapat dengan usaha meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ dan tisu.
Sementara itu, kakitangan kerajaan, Suhaimi Awang Ahmad, 58, berkata, dia turut mengetahui simbolik lampu hijau sebagai tanda penghormatan kepada penderma organ melalui hebahan di media sosial, televisyen dan radio.
Menurutnya, walaupun tidak mengetahui secara terperinci sebab pemasangan lampu hijau pada malam berkenaan, dia memahami bahawa ia mempunyai hubungan dengan pendermaan organ yang memberi harapan baharu kepada pesakit.

“Pada masa ini orang ramai sudah tahu dan mempunyai kesedaran mengenai maksud lampu hijau ini. Saya harap usaha penderma organ dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat lain,” katanya ketika menghantar ahli keluarganya yang dirawat di HRPZ II.
Sementara itu, menerusi hantaran Facebook rasmi HRPZ II, pihak hospital memaklumkan pancaran lampu hijau akan terus dinyalakan selama seminggu sebagai simbolik kejayaan pendermaan organ dan tisu daripada seorang penderma di Kelantan.
Menurut HRPZ II, dua buah pinggang daripada penderma tersebut telah berjaya ditransplantasikan kepada dua pesakit di hospital penerima, manakala proses pemindahan kornea dijadualkan berlangsung minggu ini membabitkan seorang pesakit di HRPZ II.
Tinjauan I Medikel TV pada jam 1 pagi hari ini mendapati lampu hijau dipasang di bangunan dan pekarangan bangunan Rawatan Harian HRPZ II sebagai simbolik penghormatan berkaitan kejayaan pendermaan organ berkenaan.
IMedikelTV






