Home Buletin Semasa TIGA REMAJA BUAT AKSI EKSTREM DITAHAN JPJ KELANTAN

TIGA REMAJA BUAT AKSI EKSTREM DITAHAN JPJ KELANTAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tiga penunggang motosikal dikesan terbabit dalam kegiatan perlumbaan haram dan aksi menunggang secara ekstrem sehingga membawa kepada penahanan 25 motosikal dalam operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan di sekitar Kota Bharu, petang semalam.

Ketiga-tiga individu berkenaan dikenal pasti melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42A(2), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987), yang memperuntukkan tindakan undang-undang terhadap perbuatan berlumba dan menduga kelajuan menggunakan kenderaan motor.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, lebih membimbangkan apabila hasil pemeriksaan awal mendapati individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan berusia antara 12 hingga 18 tahun.

Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan kekuatan 60 pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ Kelantan, termasuk lima pegawai, dengan tumpuan terhadap kegiatan perlumbaan haram serta perbuatan menduga kelajuan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, operasi itu turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan dokumentasi dan pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Antara kesalahan yang diperiksa termasuk lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan menunggang tanpa lesen memandu.

“Selain itu, kita turut memberi perhatian kepada pengubahsuaian ekstrem seperti ekzos bising, tayar tidak mengikut spesifikasi asal, sistem brek, penukaran swing arm serta nombor pendaftaran yang tidak mengikut ukuran ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan malam tadi.

Menurutnya, operasi itu turut merekodkan 100 tindakan penguatkuasaan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 25 motosikal.

Mohd Misuari berkata, motosikal yang didapati mempunyai ketidakpatuhan teknikal boleh ditahan untuk pemeriksaan lanjut mengikut Seksyen 59 APJ 1987, dengan tempoh penahanan tidak melebihi 48 jam tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

Dalam tempoh itu, JPJ akan mengeluarkan notis PG-1 bagi kesalahan teknikal, merakam percakapan individu berkaitan untuk penyediaan kertas siasatan serta mengeluarkan notis saman JPJ P-22 bagi kesalahan yang dikesan.

“Pemilik motosikal juga perlu mengembalikan komponen yang diubah suai kepada spesifikasi asal sebelum kenderaan berkenaan boleh dilepaskan.

“Bagaimanapun, tindakan sitaan boleh diambil mengikut Seksyen 64 APJ 1987 sekiranya pemilik gagal melaksanakan pembaikan dan memastikan motosikal mematuhi spesifikasi ditetapkan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Mengulas penguatkuasaan Seksyen 42A yang diperkenalkan menerusi pindaan APJ 1987 dan berkuat kuasa 16 Oktober lalu, beliau berkata peruntukan itu membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap individu yang terbabit dalam perlumbaan haram dan aktiviti menduga kelajuan tanpa perlu menunggu sehingga berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa.

Katanya, individu yang disabitkan kesalahan bagi kali pertama boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan selama dua hingga tiga hari selepas pihaknya menerima maklumat serta rakaman gambar dan video berkaitan kegiatan perlumbaan haram serta aksi berbahaya di beberapa lokasi.

“Kita sudah dua kali melaksanakan operasi di kawasan sama, malah sebelum ini pernah merekodkan kira-kira 200 saman dalam satu operasi petang, namun kegiatan berkenaan masih berulang.

“JPJ Kelantan tidak akan berkompromi dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara tegas, konsisten serta berterusan tanpa mengira masa dan lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap pergerakan anak-anak, khususnya golongan remaja, dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah.

Katanya, tanggungjawab mendidik anak-anak mengenai keselamatan jalan raya perlu bermula dari rumah, termasuk memastikan mereka mematuhi peraturan serta menggunakan topi keledar ketika menunggang motosikal.

Beliau turut menasihatkan golongan muda supaya tidak menjadikan jalan raya awam sebagai tempat menguji keupayaan motosikal, sebaliknya menggunakan litar perlumbaan yang dibenarkan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here