Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Sungai Pulau Belacan, Kampung Pulau Belacan, di sini, petang tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Shamsudin Ismail memklumkan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 5.41 petang.
“Susulan itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa bersama sebuah jentera FRT, pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.50 petang, kira-kira sembilan minit selepas menerima panggilan kecemasan dengan jarak perjalanan kira-kira 3 kilometer (km),” katanya.
Beliau berkata, operasi pencarian dilaksanakan menggunakan kaedah Surface Searching di sepanjang sungai dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Katanya bagaimanapun keadaan cuaca yang semakin gelap menjadi antara cabaran dalam usaha mengesan mangsa.
IMedikel TV






