Home Buletin Semasa AIDIL DIKENANG INSAN BAIK HATI, RAKAN SEPAKAT TUNAI IMPIAN MOTOSIKAL ARWAH

AIDIL DIKENANG INSAN BAIK HATI, RAKAN SEPAKAT TUNAI IMPIAN MOTOSIKAL ARWAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pemergian Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, bukan sahaja dirasai ahli keluarga, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan yang pernah bekerja dan rapat dengannya.

Allahyarham dikenang sebagai seorang yang baik hati, mudah mesra, penyabar serta sentiasa sedia membantu, sekali gus menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar buat mereka yang mengenalinya.

Rakan sekerjanya, Muhammad Haiqal Izham Saifulnizam, 21, berkata Allahyarham seorang yang disenangi ramai kerana memiliki perwatakan menyenangkan dan mudah didekati.

“Dia baik sangat. Kalau orang duduk dengan dia pun rasa senang, memang mudah untuk berkawan dengan dia,” katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Padang Tembak, di sini, hari ini. .

Menurutnya, mereka mula berkenalan sejak 2024 dan bekerja bersama selama kira-kira setahun, selain menganggap Allahyarham sebagai antara sahabat paling rapat dengannya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu Allahyarham adalah dua hingga tiga hari sebelum kejadian, tanpa menyangka pertemuan itu menjadi kenangan terakhir bersama sahabatnya.

Sementara itu, seorang lagi rakan baik Allahyarham, Naiman Al-Hakimi Ismail Asri, 21, berkata mereka sudah berkawan selama tiga tahun dan menganggap Allahyarham seperti ahli keluarganya sendiri.

“Dia memang seorang yang baik, tak berkira dan kalau kita minta tolong, dia akan bantu. Saya anggap dia macam keluarga sendiri,” katanya.

Lebih menyentuh perasaan, Naiman Al-Hakimi berkata pertemuan terakhir mereka berlaku sehari sebelum Allahyarham terbabit dalam kemalangan.

Katanya, mereka pada awalnya merancang untuk bersarapan bersama, namun rancangan itu tidak dapat diteruskan sebelum mereka sempat bertemu di sebuah kafe.

“Sehari sebelum dia kemalangan, kami ada berjumpa. Masa itu dia beritahu nak balik kerana ibunya minta tolong belikan burger,” katanya.

Dalam pada itu, Naiman Al-Hakimi berkata Allahyarham sebenarnya mempunyai impian untuk menyiapkan sebuah motosikal yang sedang diubah suai, namun hasrat itu tidak kesampaian.

Susulan itu, rakan-rakannya sepakat mengumpulkan sumbangan bagi merealisasikan impian berkenaan dengan menyiapkan motosikal menggunakan rangka asal milik Allahyarham.

“Kami sepakat untuk kumpul sumbangan dan siapkan motosikal yang dia impikan itu. Cuma perancangannya kami tidak pasti sama ada nak guna atau jual atau masuk dalam show “Art of Speed”,” katanya.

Dia turut berharap segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan dan arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here