Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
KOTA BHARU: Jenazah penderma organ, Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Padang Tembak, di sini pada pukul 2.18 petang, hari ini.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang sebelum ini mendapat perhatian ramai susulan pengorbanannya mendermakan organ untuk membantu pesakit lain.
Bapa Allahyarham, Ahmad Zupardi Embong, 63, bersama ahli keluarga dilihat tabah mengiringi jenazah ke tanah perkuburan selepas selesai semua urusan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Terdahulu, persiapan pengebumian telah dilakukan seawal pukul 8.30 pagi dengan kerja-kerja menggali kubur dilaksanakan oleh penggali kubur, Zulkifli Jusoh, 62, atas permintaan keluarga bagi memastikan urusan pengkebumian berjalan lancar.
Menurut beliau, Allahyarham dikenali sebagai seorang pemuda yang baik dan berasal daripada keluarga yang dihormati dalam komuniti setempat.

Allahyarham yang merupakan graduan Diploma Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum ini disahkan mengalami kematian otak akibat kemalangan jalan raya sebelum keluarganya mengambil keputusan mendermakan organ beliau.
Pengorbanan itu membolehkan beberapa pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ memperoleh harapan baharu untuk meneruskan kehidupan, sekali gus menjadikan Allahyarham antara wira tidak didendang yang akan terus dikenang masyarakat.
IMedikelTV






