Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
IPOH: Seorang lelaki tempatan disahkan maut selepas berlaku kejadian berbalas tembakan antara suspek dan pasukan polis di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, 19 November itu berlaku ketika sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjalankan rondaan cegah jenayah samun di sekitar kawasan berkenaan.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar Muthuvelu berkata, pasukan polis bertindak menahan sebuah kenderaan yang dipandu suspek sebelum lelaki itu keluar dari kenderaan untuk melarikan diri.
“Bagaimanapun, suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sehingga mencetuskan kejadian berbalas tembakan.
“Tindakan membalas tembakan dilakukan bagi mempertahankan diri dan menyelamatkan anggota daripada ancaman suspek.
“Suspek kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira jam 3.40 pagi, manakala sepucuk pistol turut ditemukan berhampiran lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh meningkat sehingga 20 tahun sekiranya menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 berkaitan kesalahan melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang, yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan, selain mengelakkan penyebaran fakta tidak tepat sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
IMedikel TV






