Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang akan menganjurkan Program Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest secara serentak bermula esok hingga Ahad ini membabitkan tujuh lokasi lima daerah di negeri ini.
Program dengan kerjasama Majlis Belia Pahang akan dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Kuala Krau, Temerloh menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan, berkata usaha mendapatkan MBOR menerusi jumlah tangkapan ikan baung ekor merah di tujuh lokasi sepanjang penganjuran program terbabit.
Menurutnya, penganjuran program secara bersepadu ini turut menggunakan sambungan visual secara langsung dari enam lokasi satelit ke skrin paparan digital
(LED) di pentas utama di Kuala Krau bagi membolehkan pemantauan dan perkongsian aktiviti sepanjang pertandingan berlangsung.
Katanya, usaha mencipta rekod MBOR yang pertama di negara ini memerlukan sokongan dan penglibatan aktif masyarakat setempat terutama komuniti pemancing di Pahang.
“Selaku pengerusi penganjur saya menjemput orang ramai dan komuniti pemancing untuk sama-sama menyertai serta menjayakan Pahang 1st Tawan Baung Ekor Merah Fest yang julung kali diadakan secara serentak di tujuh lokasi di daerah Pekan, Maran, Jerantut, Temerloh dan Lipis.
“Penyertaan dan sokongan semua pihak amat penting bagi memastikan sasaran pengiktirafan MBOR dapat direalisasikan di samping membantu usaha Jabatan Perikanan Pahang mengawal populasi ikan asing invasif dan melindungi ekosistem perairan darat,” katanya di sini hari ini.
Majlis perasmian akan disempurnakan Menteri Besar Pahang pada Sabtu di Kuala Krau dengan gimik menyauk ikan baung ekor merah.

Pertandingan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 bagi juara kategori ikan terberat, naib johan RM2,000 dan RM1,000 ketiga. Bagi kategori ikan terbanyak tujuh kawasan hadiah RM10,000 dan RM5,000 kategori ikan terberat tujuh kawasan.
Penganjuran festival ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perikanan Malaysia melalui Pejabat Perikanan Negeri Pahang untuk mengawal populasi ikan asing invasif yang boleh mengancam keseimbangan ekosistem perairan darat serta kelangsungan spesies ikan tempatan.
Untuk rekod sejak 2022 hingga Julai 2026 sebanyak 10 siri program kesedaran, inventori dan pertandingan memburu ikan asing telah dilaksanakan di beberapa daerah di Pahang. Menerusi program itu lebih 1,273 kilogram ikan baung ekor merah berjaya ditangkap.
IMedikel TV






