Home Buletin Semasa JANGAN HUKUM ATM KERANA KESALAHAN SEGELINTIR ANGGOTA – MINDEF

JANGAN HUKUM ATM KERANA KESALAHAN SEGELINTIR ANGGOTA – MINDEF

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KOTA TINGGI : Masyarakat diminta tidak menghukum keseluruhan institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), susulan kes penemuan dadah di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang yang dipercayai membabitkan segelintir anggotanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada kira-kira 120,000 anggota tentera yang sedang berkhidmat hanya segelintir individu dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya anggota lain masih menjalankan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara.

“Saya berharap supaya masyarakat tidak menghukum institusi kerana daripada 120,000 anggota tentera yang berkhidmat. Mungkin ada beberapa anggota yang tidak amanah.

“Kita faham memang kerana nila setitik maka rosak susu sebelanga. Tapi dalam konteks ini, susu sebelanga tu tak tak boleh dipersalahkan dia kerana nila setitik itu.

“Kita tahu bahawa perkara insiden ini bukan sahaja memberi mudarat kepada yang terlibat, tetapi ia juga menjejaskan reputasi dan mencemarkan nama institusi ATM termasuklah terutamanya TUDM dalam kes ini.

“Tetapi yang juga lebih penting ialah soal ini boleh menjejaskan kesiagaan untuk melaksanakan tanggungjawab mempertahankan negara dan menjaga kedaulatan negara. Jika perkara seumpama ini terjadi, berlaku secara berleluasa, maka tentunya ia akan menjejaskan kesiagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Hari Apresiasi Tabika KEMAS Program IQRA’ dan Fardhu Ain (IQRA’) Tabika KEMAS Parlimen Kota Tinggi Tahun 2026 di Lotus Desaru di sini hari ini.

Mohamed Khaled menegaskan MINDEF tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit tanpa mengira pangkat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan polis.

“Kementerian dan ATM tidak akan melindungi sesiapa yang melakukan kesalahan begini.

“Kita sangat telus dan bertegas dalam soal ini kerana kita tahu kalau perkara ini tidak dijaga, kedaulatan dan pertahanan negara boleh tercabar,” katanya.

Pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, lima pegawai TUDM ialah antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan, kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kg dadah dengan menggunakan aset TUDM, baru-baru ini.

Beliau berkata, 11 individu termasuk enam orang awam itu diberkas susulan penemuan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here