BEIJING: Seorang wanita yang menyangka dia berkahwin dengan seorang pegawai Pasukan Polis Bersenjata Rakyat (PAP) terkejut besar apabila mendapati suaminya sebenarnya seorang pembunuh, lapor South China Morning Post.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, wanita di provinsi Hebei, utara China yang hanya mahu dikenali sebagai Pang itu mendirikan rumah tangga pada 2014 dengan lelaki bernama Jia Bin selepas diperkenalkan oleh bapa saudaranya.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Namun, kebahagiaan mereka mula goyah apabila Jia jarang berada di rumah.
Lelaki itu kerap memberi alasan perlu menjalankan “misi khas” menyebabkan dia sering menghilangkan diri selama beberapa hari, dan lama-kelamaan tempohnya bertambah panjang sehingga berbulan-bulan.
Jia akhirnya terus ghaib sepenuhnya pada 2017 meninggalkan Pang yang ketika itu tidak berani menyiasat latar belakang suaminya kerana bimbang lelaki itu akan marah.
Pang juga mengakui bahawa dia tidak berani menghubungi unit tempat suaminya bertugas. Dia mahu anaknya membesar dengan kehadiran seorang bapa memandangkan dirinya sendiri dibesarkan oleh ibu tunggal.
Bagaimanapun, segalanya terbongkar selepas Pang memfailkan perceraian di mahkamah tempatan pada 2020 sebelum dimaklumkan pihak berkuasa bahawa identiti Jia Bin sebenarnya tidak wujud.
Siasatan mendapati dokumen pengenalan tentera dan sijil unit yang digunakan lelaki itu semasa pendaftaran perkahwinan pada 2014 adalah palsu.
Pejabat pendaftaran perkahwinan mendedahkan mereka tidak mempunyai kemahiran untuk mengesahkan ketulenan dokumen ketenteraan pada waktu itu sekali gus membolehkan helah itu berjaya.
Rahsia sebenar lelaki itu akhirnya terbongkar sepenuhnya pada 2021 apabila Pang menerima panggilan telefon daripada sebuah penjara di wilayah berkenaan.
Pihak penjara memaklumkan suaminya adalah Tu Jinli, seorang penjenayah yang sedang menjalani hukuman mati ditangguhkan atas kesalahan membunuh dan menipu.
Jinli didapati membunuh seorang lelaki dalam pergaduhan pada 2011 di bandar lain sebelum melarikan diri ke bandar tempat Pang menetap dan menyamar sebagai pegawai separa tentera.
Susulan pembongkaran identiti dan sejarah jenayah itu, Pang akhirnya berjaya membatalkan perkahwinannya secara rasmi pada tahun lalu selepas melalui prosedur pentadbiran yang rumit. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






