ISTANBUL: Pasangan kekasih warga Britain yang dalam perjalanan pulang dari Thailand ditahan di Lapangan Terbang Istanbul bersama 20 kilogram (kg) ganja di dalam bagasi mereka, menurut pengesahan pihak berkuasa pada Khamis.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, rakaman kastam Turkiye yang disiarkan agensi berita tempatan, DHA menunjukkan salah satu beg pakaian milik pasangan itu dipenuhi dadah yang dibungkus rapi menggunakan pek vakum.
Kedua-dua suspek yang berusia 20-an menurut beberapa laporan media Britain ditahan pada 26 April lalu sebelum disoal siasat dan direman.
“Kami memberikan sokongan kepada dua warga Britain yang ditahan di Turkiye serta keluarga mereka dan kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan,” kata Kementerian Luar Britain dalam satu kenyataan kepada AFP.
Thailand membenarkan penggunaan ganja pada 2022, namun susulan peningkatan kes tangkapan di lapangan terbang United Kingdom (UK), pihak berkuasa Britain berulang kali mengingatkan pelancong supaya tidak membawa pulang dadah berkenaan.
Sebelum ini, dua wanita muda warga Perancis yang juga dalam perjalanan pulang dari Thailand dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Turkiye selepas ditahan 10 bulan lalu di Lapangan Terbang Istanbul bersama hampir 25kg ganja.
Dalam laporan yang diterbitkan pada 2025, Agensi Dadah Kesatuan Eropah (EUDA) turut menyatakan kebimbangan berhubung peningkatan rampasan ganja yang berasal dari Thailand.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






