LONDON: Martin Odegaard menyeru Arsenal untuk teguh bersatu susulan kemerosotan prestasi ketika mereka bersiap sedia menghadapi cabaran getir menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi Khamis ini.
Gunners akan berkunjung ke Parc des Princes dengan misi sukar untuk menewaskan juara Perancis itu dan mara ke final UCL buat kali kedua dalam sejarah kelab.
Skuad bimbingan Mikel Arteta ketinggalan 0-1 selepas tewas pada aksi pertama di London hasil jaringan Ousmane Dembele.
PSG sebelum ini menyingkirkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) Liverpool di pusingan 16 terbaik dan Aston Villa di suku akhir, serta mengatasi Manchester City dalam peringkat kumpulan.
Arsenal, yang masih belum pernah menjuarai UCL, kini hampir menjadi ‘mangsa’ terbaru PSG dari England selepas aksi hambar di perlawanan pertama yang sebenarnya boleh menyaksikan mereka tewas dengan lebih besar.
Persiapan Arsenal untuk aksi timbal balik di Paris tidak menjadi apabila tewas 1-2 kepada Bournemouth dalam aksi EPL pada Sabtu.
Arteta berkata pemainnya dihantui “kemarahan dan kekecewaan” selepas dua kekalahan menyakitkan.
Namun, kapten pasukan Odegaard berkata emosi itu boleh dijadikan pembakar semangat untuk mencipta kemenangan epik ke atas PSG dengan syarat pasukan kekal bersatu tanpa menyalahkan sesiapa.
“Kami kecewa sekarang, tetapi perlu teruskan, kuatkan semangat dan bersatu untuk bersedia menghadapi perlawanan besar,” kata Odegaard.
“Ia satu perlawanan amat penting. Bila kita rasa kecewa dan marah, kita boleh gunakan semua emosi itu pada Rabu (awal pagi Khamis).
“Kami tahu apa yang sedang kami perjuangkan. Kita perlu bersatu, bina tenaga dan bersedia sepenuhnya.”
Keputusan Arteta yang hanya membuat dua pertukaran ketika menentang Bournemouth menimbulkan persoalan apabila beliau tetap menggunakan pemain utama walaupun risiko kecederaan tinggi.
Hanya Jurrien Timber dan Mikel Merino tidak diturunkan dalam perlawanan itu, dan Arteta mendedahkan Timber akan menjalani ujian kecergasan sebelum diputuskan sama ada boleh diturunkan menentang PSG.
Arsenal yang kini di tangga kedua liga masih memerlukan dua kemenangan daripada baki tiga perlawanan untuk mengesahkan tempat keUCL musim depan.
Namun tumpuan utama kini adalah kejohanan musim ini, di mana mereka masih mempunyai peluang untuk menamatkan kemarau trofi Eropah.
Setelah dua musim berturut-turut menamatkan saingan EPL di tempat kedua di belakang Manchester City, kegagalan untuk menamatkan penantian sejak 2004 amat dirasai oleh Arteta dan pemainnya.
Kecederaan serta prestasi tidak konsisten barisan serangan Arsenal menghalang mereka daripada mengejar Liverpool yang kini di puncak liga.
Tanpa trofi sejak memenangi Piala FA 2020, Arteta amat berharap dapat menukarkan potensi besar skuadnya kepada kejayaan yang boleh dibanggakan.
Arsenal mara ke separuh akhir UCL musim ini selepas menyingkirkan juara bertahan Real Madrid dengan agregat 5-1 dalam aksi suku akhir.
Namun sejarah Eropah Arsenal sering kali dipenuhi kekecewaan.Trofi Eropah terakhir mereka adalah pada 1994 apabila Alan Smith menjaringkan gol kemenangan menentang Parma dalam final Piala Pemenang Piala.
Era Arsene Wenger menyaksikan banyak kejuaraan domestik, tetapi dua final Eropah di bawah kendaliannya berakhir dengan kekalahan iaitu menentang Galatasaray (Piala UEFA 2000) dan Barcelona (Liga Juara-Juara 2006).
Arsenal juga tewas kepada Chelsea dalam final Liga Europa 2019 ketika di bawah Unai Emery. Namun, kemenangan ke atas PSG pada 1994 di separuh akhir dengan agregat 2-1 menentang pasukan yang ketika itu dibarisi George Weah dan David Ginola kini dijadikan sebagai harapan dan inspirasi menjelang aksi di ibu kota Paris itu.
Jika Arsenal berjaya mengatasi defisit ke atas PSG generasi baharu ini, ia bakal menjadi antara kejayaan terbesar dalam sejarah kelab. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






