KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Harian Metro lambakan pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) kini dilihat semakin ‘membunuh’ peluang pemain tempatan apabila majoriti kelab lebih gemar mempertaruhkan tonggak luar berbanding bakat sendiri dalam kesebelasan utama.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli berkata, isu sebenar bukan sekadar jumlah pemain import yang dibawa masuk, tetapi bagaimana polisi itu akhirnya hanya memberi kelebihan kepada beberapa pasukan tertentu sahaja.
Menurutnya, tindakan membenarkan setiap kelab mendaftarkan sehingga 15 pemain import dengan enam daripadanya boleh diturunkan dalam satu perlawanan musim ini dilihat tidak begitu seimbang dengan realiti kemampuan majoriti pasukan Liga Super.
“Kalau ikut pandangan saya, jumlah itu terlalu ramai. Mungkin ada pasukan yang mampu tanggung daripada segi kewangan, tetapi kita tidak boleh buat peraturan hanya berdasarkan kemampuan satu atau dua kelab sahaja.
“Bila jurang kewangan terlalu besar, akhirnya liga jadi tidak seimbang. Pasukan kaya terus dominan, manakala pasukan lain pula bergelut untuk bersaing,” katanya.
Tambah Pekan, situasi itu turut memberi kesan langsung kepada pemain tempatan yang semakin sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama, terutama dengan kehadiran pemain import berkualiti serta lambakan pemain warisan dan naturalisasi.
Katanya, perkembangan itu perlu dipandang serius kerana ada pasukan yang kini bergantung hampir sepenuhnya kepada pemain luar sehingga ruang untuk bakat tempatan semakin mengecil.
Dalam masa sama, beliau mengakui kuota besar pemain import sememangnya membantu wakil negara seperti Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC untuk bersaing di pentas Asia seperti Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE), ACL2 dan Kejuaraan Kelab Asean.
Namun jelasnya, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak boleh menggubal dasar liga hanya untuk memenuhi keperluan beberapa kelab elit semata-mata sehingga memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan.
“Kita faham ada pasukan yang perlukan pemain import ramai untuk bersaing di Asia, tetapi liga domestik juga perlu dijaga supaya kekal kompetitif untuk semua pasukan.
“Kalau dalam sesebuah pasukan hanya satu atau dua pemain tempatan saja mampu bersaing dalam skuad utama, itu sesuatu yang perlu dinilai semula,” katanya.
Beliau turut berpandangan reformasi kuota import perlu bergerak seiring dengan pembangunan akar umbi termasuk pengukuhan akademi dan liga remaja supaya pemain tempatan benar-benar bersedia untuk mengambil alih peranan lebih besar pada masa depan. – HMetro Online –
IMedikel TV






