Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki dihadapakn di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang gadis penuntut kolej, Nurfisya Zulkifly, 19, di Ketereh kira-kira dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh Muhammad Hazim Muhammad, 19, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nurfisya Zulkifly, 19, di Jalan Pengkalan Piah, Ketereh di sini pada jam lebih kurang 11.40 malam, 30 April hingga 12.20 tengah malam, 1 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan Wan Azimah Yaacob dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nadzir Abdullah dan Ahmad Naabil Mohamed Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Alias Ibrahim.
Sebutan semula bagi pengurusan kes adalah pada 2 Julai depan.
Media sebelum ini melaporkan, pada 1 Mei lalu, mayat seorang gadis ditemui di Ketereh dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Mayat itu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di situ.
Susulan kejadian itu, empat suspek berusia 19 hingga 66 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, dua warga emas termasuk seorang wanita telah dibebaskan selepas direman tiga hari.
IMedikel TV






