MACHANG: Empat pelajar cedera parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7 pagi apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu dari arah Machang menuju ke Kuala Krai bertembung dengan sebuah motosikal jenis Honda C100.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun bersama tiga pembonceng lain yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pek, di sini datang dari arah Kuala Krai menghala ke Machang sebelum dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan.
“Tindakan itu menyebabkan motosikal berkenaan melanggar bahagian hadapan sisi kanan Honda Jazz yang ketika itu sedang melalui laluan sahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan tiga pembonceng masing-masing berumur 7, 9 dan 12 tahun mengalami kecederaan parah.
“Pemandu serta penumpang Honda Jazz tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222.
IMedikel TV






