KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata ‘mendonia’ apabila secara rasmi menyamai rekod dunia 108 perlawanan liga tanpa kalah selepas membelasah Kelantan The Real Warriors FC (TRW) 14-1 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan Johor Southern Tigers (JST), pencapaian luar biasa itu menyaksikan Harimau Selatan kini menyamai rekod dunia milik kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang sebelum ini merekodkan 108 perlawanan liga tanpa kalah.
Memetik laporan Harian Metro, lebih membanggakan, JDT masih belum tewas dalam saingan Liga Super sejak April 2021 sekali gus memperlihatkan dominasi luar biasa skuad Harimau Selatan dalam arena bola sepak domestik.
Malah, kelab gergasi Selatan tanah air itu kini hanya memerlukan satu lagi perlawanan tanpa kalah untuk muncul sebagai pemegang rekod dunia baharu.
Menurut kenyataan itu, peluang untuk JDT mencipta sejarah baharu dunia dijangka hadir pada aksi pembukaan musim 2026-27 yang dijadual berlangsung sekitar Ogos depan.
Dalam masa sama, kemenangan besar ke atas Kelantan TRW FC itu turut melengkapkan empat musim berturut-turut tanpa kalah buat Harimau Selatan selain menjadi musim keenam keseluruhan mereka menamatkan saingan liga tanpa tewas selepas turut melakukannya pada musim 2016 dan 2020.
Pencapaian itu sekali lagi membuktikan revolusi dan pembangunan dilakukan JDT sejak lebih sedekad lalu kini berada di tahap tersendiri sehingga sukar dicabar mana-mana pasukan tempatan.
Dengan deretan rekod demi rekod terus dilakar, Harimau Selatan kini semakin hampir meletakkan nama JDT dalam sejarah bola sepak dunia sebagai pasukan dengan rekod tanpa kalah paling panjang dalam saingan liga domestik.-HMetro Online-
IMedikel TV






