LOS ANGELES: Bintang seni bela diri campuran (MMA), Conor McGregor dilaporkan semakin hampir mencapai persetujuan untuk kembali beraksi dalam UFC musim panas ini.
Menurut beberapa laporan, petarung Ireland itu yang tidak pernah bertarung sejak patah buku lali ketika menentang Dustin Poirier pada 2021 kini “hanya selangkah” memeterai perjanjian aksi ulangan menentang Max Holloway pada 11 Julai sempena Pertarungan Antarabangsa Mingguan di UFC 29.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, wartawan MMA dan tinju terkenal, Ariel Helwani berkata dia adalah individu pertama melaporkan mengenai kepulangan McGregor dan potensi pertarungan menentang Holloway.
“Saya orang pertama memberitahu McGregor akan kembali, saya juga orang pertama memberitahu pertarungan itu membabitkan McGregor menentang Max dan setakat ini saya masih satu-satunya.
“Saya tidak boleh menentukan bila pengumuman rasmi akan dibuat kerana itu keputusan pihak lain. Tetapi saya hanya menyampaikan fakta dan saya tidak akan silap mengenai tempahan pertarungan atau lawan,” katanya.
Presiden UFC, Dana White pula berkata dalam program “The Jim Rome Show” bahawa dia sangat yakin McGregor, 37, akan kembali bertarung dalam masa terdekat namun kontrak rasmi masih belum dimeterai dan lawan juga belum diumumkan.
Bagaimanapun, Helwani meminta pendengarnya menjangkakan pengumuman rasmi dibuat sebelum UFC Freedom 250 yang dijadual berlangsung di White House pada Sabtu, 14 Jun ini.
“Jika anda tidak percaya, anda akan lihat sendiri nanti. Ketika ini semuanya sudah hampir selesai.
“Saya tidak pernah kata semuanya sudah dimeterai sepenuhnya. Tetapi ia akan berlaku. Saya mahu jelaskan perkara itu.
“Sesuatu yang sangat buruk perlu berlaku jika pertarungan ini gagal direalisasikan pada 11 Julai nanti. Jika diumumkan ketika acara di White House, ia sudah terlalu dekat dengan tarikh pertarungan,” katanya.
Helwani kemudian menambah bahawa Dana White benar apabila menyatakan kontrak itu masih belum dimuktamadkan sepenuhnya walaupun satu pihak dipercayai sudah memberi persetujuan.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






