KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian pelakon, Nabila Huda meluahkan rasa kesal terhadap kritikan yang diterima ketika menjalankan usaha kecil menjual pasta, sehingga mempertimbangkan untuk menghentikan siri jelajah jualan dan beralih sepenuhnya kepada penjualan secara dalam talian.
Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, berkata dia tidak menyangka usaha yang dilakukan secara kecil-kecilan itu menerima pelbagai reaksi negatif, termasuk dipertikai dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta penampilannya ketika memasak.
Sebelum ini, penampilan Nabila yang memakai pakaian mendedahkan bahu serta tidak bertopi ketika memasak pasta untuk pelanggan menjadi bualan netizen.
Situasi itu mencetuskan kritikan di media sosial, termasuk dakwaan bahawa dirinya tidak mematuhi SOP pengendalian makanan.
Luahan tersebut turut dikongsikan Nabila di platform Threads.
“Kalau usaha kecil saya ini pun orang salah anggap macam-macam… jujurnya rasa macam lebih baik berhenti siri jelajah dan jual secara atas talian saja.
“Saya bukan seorang yang hipokrit. Saya tidak tahu menipu diri untuk nampak baik, sopan dan lemah lembut semata-mata untuk buat orang suka dan puji.
“Saya cuma buat meja kecil, masak sendiri, pandu sendiri dan tidak sangka sambutan begitu ramai,” katanya.
Nabila atau lebih akrab disapa Abil turut mempersoalkan kritikan yang diterima terhadap penampilannya.
“Yang kecam ini nak saya pakai jubah ke macam mana? Korang nak apa sebenarnya?
“Kadang-kadang sedih bila benda yang dibuat dengan ikhlas dan gembira bertukar menjadi bahan kecaman. Saya tak kacau hidup orang pun,” katanya.
Bagaimanapun, sebahagian pengguna media sosial tampil membalas kenyataan tersebut dengan menegaskan isu utama bukanlah pemakaian jubah, sebaliknya keperluan berpakaian sopan dan mematuhi SOP pengendalian makanan.
“Bukan nak pakai jubah, tapi sekurang-kurangnya berpakaian sopan seperti baju berlengan panjang, seluar sesuai dan penutup kepala,” komen seorang pengguna Threads.
Dalam masa sama, seorang pengguna yang mendakwa dirinya pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan menyarankan Nabila mengikuti kursus pengendalian makanan serta mendapatkan suntikan tifoid sekiranya mahu meneruskan aktiviti perniagaan makanan. – BH Online –
IMedikel TV






