Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR MAS: Walaupun dilahirkan dengan keadaan tulang belakang bengkok serta hidup dalam serba kekurangan, seorang pelajar tetap cekal mengejar cita-cita untuk menjadi ahli farmasi.
Nur Athirah Najwa Mohd Zamani, 18, dari Kampung Kekabu, di sini berkata dia bersyukur apabila menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi dalam bidang sains, namun pada masa sama memikirkan kos persediaan yang perlu ditanggung keluarganya.
Menurutnya, walaupun yuran pengajian hanya sekitar RM500, jumlah itu agak besar buat keluarganya yang berdepan kesempitan hidup.
“Banyak persiapan yang perlu dibuat termasuk bayaran yuran pengajian. Walaupun RM500 nampak kecil bagi sesetengah orang, tetapi ia besar bagi keluarga saya.
“Kalau sambung belajar juga semestinya perlukan laptop untuk kegunaan pembelajaran,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Raja itu memperoleh keputusan cemerlang 8A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, sekali gus melayakkannya mengikuti program matrikulasi selama setahun.
Nur Athirah yang juga anak sulung daripada dua beradik berkata, bapanya, Mohd Zamani Mohd Din, 47, bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM900 sebulan, manakala ibunya, Fadhilah Awang, 46, merupakan suri rumah sepenuh masa.
Dalam pada itu, dia turut menerima sumbangan sebuah komputer riba daripada 3rd Force Pasir Mas bagi membantu urusan pembelajarannya nanti.
Selain berusaha mengejar cita-cita dalam bidang farmasi, Nur Athirah juga perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Pasir Mas setiap enam bulan untuk pemeriksaan doktor pakar berkaitan masalah tulang belakang yang dihidapinya sejak lahir.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup, semangat dan kegigihan anak muda itu jelas tidak pernah luntur demi mengubah masa depan keluarganya.
Bagi sesiapa yang ingin memberi sumbangan, boleh salurkan kepada akaun Bank Simpanan Nasional, 0299541100994752, atas nama Nur Atirah Najwa Binti Mohd Zamani.
IMedikel TV






