Home Luar Negara PEMPENGARUH DENGAN 15 JUTA PENGIKUT UMUM BERSARA

PEMPENGARUH DENGAN 15 JUTA PENGIKUT UMUM BERSARA

239
0

BEIJING: Suami isteri di China yang memiliki 15 juta pengikut dalam talian, baru-baru ini, mengumumkan berhenti daripada dunia penstriman langsung selepas mengalami keletihan melampau selepas muncul ke udara lebih 1,000 kali dalam tempoh lima tahun.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pasangan dari wilayah Sichuan, barat daya China yang dikenali dengan nama @caihongfufu itu membuat pengumuman pada 20 April lalu, bahawa mereka memutuskan untuk berehat daripada penstriman langsung sehingga dapat mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, isteri, Sun Caihong, mengakui mereka terlalu letih dengan sesi penstriman yang dikatakan ‘tidak berkesudahan’, setiap satunya mengambil masa lebih lapan jam.

Dia berkata, dirinya tiada masa untuk bersama keluarga, apatah lagi merawat kerosakan pada peti suaranya.

Sun turut mendedahkan, dia tidak pernah berhenti bekerja walaupun ketika melahirkan empat anaknya dalam tempoh lima tahun lalu.

Wanita berusia 35 tahun itu memaklumkan kepada pasukannya supaya menghentikan segala perancangan penstriman baharu dan mahu belajar untuk berehat dan menikmati hidup bersama suaminya, Guo Bin, 32.

Pasangan itu sebelum ini bekerja dalam bidang jualan insurans sebelum bergelar pempengaruh.

Pada 2020, mereka mula berkongsi kisah cinta mereka di media sosial sehingga berjaya menarik tiga juta pengikut hanya dalam masa setahun.

Selepas itu, mereka menubuhkan syarikat sendiri dan aktif menjual barangan keperluan harian secara dalam talian.

Dalam video pada 2022, mereka mendedahkan mampu mencatat jualan sebanyak 230 juta yuan (kira-kira RM150 juta) dan meraih pendapatan empat juta yuan (kira-kira RM2.6 juta) dalam masa sehari.

Menurut pasangan itu, mereka pernah tinggal di bilik sewa kecil berkeluasan lapan meter persegi sambil melakukan kerja sambilan demi kelangsungan hidup.

Mereka berjaya memperoleh pendapatan tahunan sejuta yuan (kira-kira RM655,000) hasil jualan insurans dan membeli rumah serta kereta pertama.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2018, dan hasil kejayaan mereka dalam dunia penstriman jualan, mereka membeli kediaman mewah berkeluasan 260 meter persegi bernilai enam juta yuan (kira-kira RM3.9 juta).

Mereka turut menjemput ibu bapa dan adik-beradik yang sebelum ini bekerja sebagai buruh untuk tinggal bersama dan membantu menguruskan perniagaan.

Sun juga melahirkan tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan antara 2019 hingga 2024, demi memenuhi impian suaminya yang mahukan seorang anak perempuan.

Pasangan itu berkata, mereka bekerja keras merebut peluang yang ada, namun akhirnya sedar bahawa tamak itu tidak membawa ke mana.

“Kami berasal dari golongan bawahan. Kami sepatutnya bersyukur dengan apa yang sudah kami capai,” kata mereka.

Mereka kini berhasrat untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga sebelum kembali ke dunia penstriman, namun dengan cara yang lebih seimbang supaya tidak memudaratkan diri. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here