Home Buletin Semasa OKU PENGLIHATAN BUKTIKAN KEMAMPUAN DI TERENGGANU MARATHON 2026

OKU PENGLIHATAN BUKTIKAN KEMAMPUAN DI TERENGGANU MARATHON 2026

355
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Program Terengganu Marathon 2026 berjaya menghimpunkan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dalam satu acara larian inklusif, membuktikan mereka juga mampu berlari seperti individu normal.

Ketua program, Dr Adri Shafit berkata, penganjuran program itu bukan sahaja memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk terlibat dalam aktiviti sukan, malah membantu mengelakkan mereka daripada berasa terpinggir dalam komuniti.

“Seramai lima pelari OKU penglihatan daripada Society of the Blind Malaysia berjaya menamatkan larian sejauh 10 kilometer dengan bantuan sukarelawan yang bertindak sebagai ‘guide runner’.

“Kesemua sukarelawan terdiri daripada kakitangan Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM),” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Beliau yang juga Pensyarah Pelatih Fakulti Perubatan Hospital Sultan Zainal Abidin berkata, para sukarelawan sudah membuat persediaan rapi termasuk latihan khusus bagi memastikan keselamatan peserta sepanjang larian.

“Latihan ini bukan sahaja memberi fokus kepada tahap stamina, malah teknik membimbing pelari OKU penglihatan agar dapat mengelakkan sebarang risiko kemalangan,” katanya.

Program anjuran Terengganu Blind Sports Association itu merupakan julung kali diadakan di Pantai Timur, dengan kerjasama Society of the Blind Malaysia Terengganu serta Jabatan Oftalmologi Hospital Sultan Zainal Abidin.

Acara tersebut mendapat tajaan utama daripada Klinik Pakar Mata Bashira, Kuala Terengganu.

Menurut Dr Adri, tahap kesedaran masyarakat di Pantai Timur mengenai keperluan dan kebolehan komuniti OKU penglihatan masih rendah berbanding di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kami mahu meningkatkan kesedaran bahawa terdapat pelbagai cara untuk membantu komuniti ini, termasuk melalui penglibatan dalam aktiviti seperti larian bersama.

“Kami juga berharap program seperti ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan sokongan berterusan daripada pihak korporat dan media bagi memperkasa komuniti OKU penglihatan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here