Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Pasir Puteh membuat laporan polis berhubung ucapan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali berkata, lebih 50 ahli parti hadir di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Puteh bagi menyokong laporan polis yang dibuat pada jam 11.33 pagi, hari ini.
Beliau berkata, penghinaan sahabat Nabi Muhammad SAW adalah umpama menghina agama Islam dan umat Islam perlu bertindak atas kenyataan itu.
“Kami mendesak agar Nik Muhammad Zawawi membuat permohonan maaf secara terbuka, sekiranya tidak kami juga mendesak agar kamu segera meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui di IPD Pasir Puteh di sini, hari ini.
Terdahulu, tular petikan ucapan Nik Muhammad Zawawi menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.
Nik Muhammad Zawawi menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina.
Ucapan itu dilontarkan dalam program ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Bagaimanapun, hari ini, selepas kira-kira tiga hari, Nik Muhammad Zawawi dilaporkan memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang mengaitkan sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’.
Beliau juga mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian sehingga mencetuskan kontroversi dan menyinggung perasaan pelbagai pihak.
Semalam, Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mengeluarkan kenyataan memandang serius ucapan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu dan mengakui terdapat beberapa kenyataan tidak tepat daripada sudut fakta sejarah berkenaan latar kehidupan sahabat Rasulullah S.A.W sebelum kedatangan Islam.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, DUPP juga menegur secara dalaman terhadap Ahli Parlimen itu.
IMedikel TV






