Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Yayasan Karyawan menjalinkan kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dalam menerbitkan Naskhah Sejarah Kelantan sebagai sumber penting kepada masyarakat khususnya generasi muda.
Pengerusi Lembaga Yayasan Karyawan, Datuk A Aziz Deraman berkata, penerbitan itu membolehkan generasi baharu menyingkap lembaran sejarah pemerintahan negeri, menginsafi jasa pemimpin terdahulu serta menanam tekad dalam mempertahankan kedaulatan negeri.

“Kerjasama ini adalah langkah awal yang penting dalam usaha meneroka, menilai dan mengangkat manuskrip-manuskrip lama di negeri ini sebagai karya agung Melayu.
“Daripada senarai karya agung Melayu yang diterbitkan, kita sedari tiada karya agung Melayu yang berasal dari Kelantan yang mana sebuah negeri yang kaya dengan sejarah, tradisi keilmuan, warisan kebudayaan, kesenian dan pancaran sinar Melayu-Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) Penerbitan Naskhah Kelantan antara MAIK dan Yayasan Karyawan, di MAIK di sini, hari ini.
Hadir sama, Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang menyaksikan MoA tersebut.
Beliau berkata, naskhah itu didatangkan dengan tulisan jawi yang dihimpunkan dengan terjemahan kepada tulisan rumi bagi memudahkan pembacaan generasi masa kini.
Jelasnya, karya agung Melayu yang diterbitkan adalah melambangkan kehebatan daya cipta, kebijaksanaan dan kehalusan budi para pemikir dengan idealisme, nilai dan pandangan hidup bangsa dan masyarakat Melayu.
“Ia bukan sekadar teks lama, tetapi cerminan visi, falsafah dan kesedaran akhlak atau moral bangsa Melayu.
”Kita berharap penerbitan judul pertama ini menjadi pencetus kepada penerbitan lebih banyak karya agung Melayu dari Pantai Timur Tanah Melayu, khususnya dari negeri Kelantan agar warisan sejarah dan intelektualismenya terus hidup, dibaca dan diwarisi dengan bangganya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein berkata, penerbitan naskhah itu boleh mengangkat kembali teks sejarah yang hampir tenggelam dalam lipatan masa serta memperkukuh peranan MAIK dalam memelihara warisan ilmu, adat istiadat, jati diri negeri dan rakyat.
”Kita sudah menghimpunkan naskhah-naskhah penting sejarah Kelantan untuk dipelihara dan diketengahkan semula.
”Setakat ini naskhah yang mengandungi empat teks itu sudah mencapai 50 peratus penghasilannya dan dijangka siap pada Jun tahun ini.
”Kita berharap naskhah ini boleh menjadi sumber rujukan generasi muda untuk memahami liku-liku sejarah pemerintahan Kelantan sekaligus menyumbang kepada pembangunan Kelantan yang sejahtera,” katanya.
IMedikel TV






