PUCHONG: Penyanyi, Fiq Halim menegaskan dirinya masih lagi hidup membujang pada usia 44 tahun dan belum pernah berkahwin seperti tanggapan ramai sebelum ini.
Memetik laporan Harian Metro, Fiq atau nama sebenarnya, Mohd Firdaus Abdul Halim berkata, dia hanya menyerahkan soal jodoh dan perancangan untuk berumah tangga kepada ketentuan Tuhan.
“Ya, saya masih bujang dan tak pernah kahwin sebelum ini. Saya juga tidak pernah kecewa dalam bercinta mahupun dikecewakan mana-mana wanita.
“Bagi saya, biasalah bila usia kita semakin meningkat, kadang-kadang kita perlukan sedikit ruang untuk diri sendiri.
“Kita hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan. Soal kahwin, adalah di bawah aturan Allah SWT dan bukannya kita yang tentukan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Trilogi bersama Aepul Roza dan Aweera di Rusa Marketing Sdn Bhd di sini.
Ditanya dirinya yang kelihatan awet muda berbanding usia sebenar pula, kata bekas juara program realiti Mentor musim kedua itu, dia juga tidak ada sebarang rahsia mengenai perkara itu.
“Sebagai lelaki yang berstatus bujang, saya juga selalu keluar dan bertemu dengan kawan-kawan di luar.
“Bila kita bertemu dengan kawan-kawan, kadang-kadang kita bercakap perkara lain yang luar dari bidang seni.
“Kalau kita asyik fikir bidang seni 24 jam pun tidak boleh juga,” kata penyanyi kelahiran Sandakan, Sabah berkenaan.-HMetro Online-
IMedikel TV






