Home Hiburan AFDLIN DISERANG HYPO KETIKA KEBUMI ARWAH JALIL HAMID

AFDLIN DISERANG HYPO KETIKA KEBUMI ARWAH JALIL HAMID

57
0

KUALA LUMPUR: Datuk Afdlin Shauki menjelaskan beliau mengalami serangan Hipoglisemia (hypo) ketika menghadiri pengebumian bintang veteran, Allahyarham Jalil Hamid di Shah Alam, Isnin lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Afdlin berkata, serangan hypo berlaku berikutan dia tidak menjamah makanan, lantas menyebabkan tubuhnya menjadi lemah, hingga dipapah teman-teman ketika berada di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

“Saya terlupa makan dan terkena hypo. Selepas itu, saya terus ke rumah untuk berehat,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Afdlin menyifatkan Allahyarham Jalil sebagai hero industri seni tanah air yang memiliki kualiti luar biasa, mirip legenda seni, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Afdlin berkata, Allahyarham Jalil bukan sahaja berbakat dalam lakonan, malah memiliki kebolehan menyanyi dan berlawak yang menjadikannya antara anak seni serba boleh yang sukar dicari ganti.

“Bagi saya, beliau adalah hero dan insan yang sangat dihormati dalam industri. Beliau umpama Allahyarham P Ramlee, cuma, tidak mengarah sahaja. Saya sangat hormat dan sayang arwah kerana dia adalah hero saya,” katanya.

Afdlin terkenang detik bekerjasama dengan Allahyarham Jalil ketika pembikinan filem Buli, iaitu karya pertama arahannya.

Afdlin berkata, beliau memilih Jalil untuk membintangi filem berkenaan kerana mahu pelakon veteran itu menjadi sebahagian daripada karya sulungnya sebagai pengarah.

“Apa yang paling saya ingat, ketika penggambaran filem Buli, saya jelaskan kepada arwah apa yang saya mahukan. Dialog itu saya tulis khas untuk arwah.

“Ada satu dialog yang agak lawak, jadi, ketika arwah baca, beliau terus gelak. Arwah jayakan babak itu sangat sempurna.

“Arwah pelakon yang sangat hebat sebab itu sampai hujung hayatnya, rezekinya tidak pernah putus. Arwah juga sangat baik dan tidak pernah susahkan orang lain,” katanya.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here