PARIS: Pemain remaja, Mezian Mesloub Soares muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan buat Lens dalam kemenangan 1-0 ke atas Nantes pada aksi Ligue 1, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, gol pemain berusia 16 tahun itu bukan saja menghadiahkan tiket automatik ke Liga Juara-Juara musim depan buat Lens, malah menyingkirkan Nantes ke divisyen kedua.
Keputusan itu turut memastikan perebutan kejuaraan Ligue 1 terus hidup apabila Lens kini satu-satunya pasukan yang masih berpeluang memintas Paris Saint-Germain (PSG).
Selepas 79 minit aksi sengit, Soares yang masuk sebagai pemain gantian memanfaatkan bola muntah di dalam kotak penalti sebelum meledak masuk gol kemenangan menerusi sentuhan keduanya pada penampilan sulung Ligue 1.
Lens kini sah menamatkan musim di kelompok dua terbaik liga apabila berada tujuh mata di depan pasukan tangga ketiga, Lyon dengan kedua-dua pasukan masih berbaki dua perlawanan.
Tempat ketiga tetap layak ke Liga Juara-Juara tetapi perlu melalui pusingan play-off.
Lens yang memiliki bajet jauh lebih kecil berbanding PSG masih mempunyai peluang tipis memburu kejuaraan apabila hanya dipisahkan tiga mata dengan kelab Paris itu yang masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Selepas tamat perlawanan, lebih 38,000 penyokong di Stade Bollaert meraikan kejayaan pasukan dengan sambutan penuh meriah termasuk pertunjukan bunga api.
Bagaimanapun, misi menghalang PSG daripada menjulang gelaran masih sukar dengan Lens turut bakal berdepan Nice pada final Piala Perancis 22 Mei ini.
Sementara itu, Nantes sah tersingkir dari Ligue 1 buat kali ketiga sejak menjulang gelaran liga pada 2001.
Legenda kelab, Vahid Halilhodzic yang mengambil alih pasukan pada Mac lalu gagal menyelamatkan Nantes daripada penyingkiran.
PSG pula akan menentang Brest Isnin ini dan kemenangan Lens bermakna mereka belum boleh mengesahkan kejuaraan hujung minggu ini.
Skuad kendalian Luis Enrique itu turut bakal berdepan Arsenal pada final Liga Juara-Juara 31 Mei ini selepas menyingkirkan Bayern Munich di separuh akhir.–AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






