PARIS: Jaguh lompat bergalah Armand Duplantis berjanji akan memburu rekod dunia ke-16 di Liga Berlian Monaco pada 11 Julai selepas mengesahkan penyertaannya, semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, juara Olimpik dua kali dan juara dunia tiga kali itu mencipta rekod dunia pertamanya dengan lompatan 6.17 meter pada 2020, sebelum memperbaharui rekod terkini kepada 6.31 meter di Sweden pada Mac lalu.
Atlet berusia 26 tahun itu baru-baru ini berpindah ke Monaco selepas sebelum ini menetap di Amerika Syarikat dan Sweden, negara yang diwakilinya dalam pertandingan antarabangsa.
“Sekarang saya berada di sini dan berlatih di sini, ini adalah stadium rumah saya dan saya rasa rekod dunia perlu dicipta di sini. Ia akan jadi sesuatu yang hebat jika saya mampu melakukannya di sini,” katanya di sebuah hotel berhampiran Stade Louis-II.
“Itulah yang bermain dalam fikiran saya,” kata Duplantis yang turut mendedahkan beliau berjaya memujuk penganjur Monaco untuk memasukkan acara lompat bergalah lelaki ke dalam program pertandingan yang asalnya hanya mempunyai acara wanita.
Musim Liga Berlian akan bermula di Shanghai pada 16 Mei, manakala Monaco menjadi acara kesepuluh daripada 15 kejohanan yang dijadualkan musim ini.-AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






