PETALING JAYA: Sepanjang 10 tahun bergelar anak seni, penyanyi Wany Hasrita mengakui pernah melalui fasa sukar untuk memastikan dirinya terus kekal relevan.
Memetik laporan Berita Harian, malah, Wany berkata, penerimaan peminat kini tidak lagi sama seperti ketika era kegemilangannya sebelum ini.
Penyanyi yang pernah merangkul trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-31 itu bagaimanapun menegaskan akan terus berkarya dengan sepenuh hati dan menganggap apa yang dilalui sebagai asam garam kehidupan seorang anak seni.
“Hendak kata tenggelam, saya rasa tidaklah terlalu tenggelam. Alhamdulillah, saya masih ada. Orang masih panggil saya menyanyi, boleh kata setiap minggu dan setiap bulan ada sahaja undangan persembahan.
“Cuma, momentumnya tidak seperti dahulu. Tapi saya faham, kebanyakan peminat saya dahulu sekarang sudah ada anak, sama seperti saya.
“Jadi, sekarang saya rasa perlu untuk pikat pendengar dalam kalangan Generasi Z (Gen Z). Saya akan cuba sedaya upaya dan memberikan lagu yang baik untuk pendengar,” katanya ketika ditemui pada sidang media single terbaharunya, Lembayung Tari, di Universal Music Malaysia, di sini, semalam.
Ketika bergelut mengukuhkan nama dan memastikan dirinya masih diterima, Wany berkata, sokongan insan sekeliling termasuk ibunya menjadi kekuatan untuk terus bertahan dalam dunia seni yang penuh cabaran.
Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 34, berkata ibunya, Norita Jaafar, menjadi tulang belakang serta penguat semangat untuk meneruskan kerjaya muzik.
“Kalau hendak cakap mengenai individu paling kuat beri semangat, sudah tentu ibu saya. Ibu tak pernah putus harapan.
“Dia selalu pesan, kalau saya sudah terlalu penat, berhenti sekejap. Duduk dengan suami di Kuching. Tak rugi apa-apa pun, ibu okey sahaja.
“Selain ibu, suami dan pengurus saya juga antara insan yang paling kuat beri semangat,” katanya dalam nada sebak sebelum mengalirkan air mata.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Menahan Rindu dan Rintihan Rindu itu, industri hiburan yang bergerak pantas menuntut dirinya sentiasa mencari cara untuk menyesuaikan diri dan keluar daripada zon selesa.
“Industri kita bergerak sangat laju. Bukan soal persaingan semata-mata, tetapi rentaknya pantas. Jadi saya kena sentiasa hasilkan lagu baharu supaya terus relevan.
“Memang adatnya kadang-kadang ada naik, ada turun. Saya masih sukakan industri ini dan masih cuba memberikan lagu yang baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wany membuka tirai karier 2026 dengan melancarkan single terbaharu berjudul Lembayung Tari yang mengangkat elemen pop etnik berteraskan nuansa klasik dan mistik alam Melayu.
Karya ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh itu bukan sekadar mempertaruhkan melodi memikat, malah tampil dengan konsep visual berunsur tradisional termasuk penggunaan tulisan Jawi menerusi video lirik yang jarang diketengahkan dalam industri muzik arus perdana.
Lagu berkenaan boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama bermula 6 Februari lalu. – BH Online –
IMedikel TV






